KUALA LUMPUR: “Saya menentang sekeras-kerasnya genosid, apartheid dan pembersihan etnik, hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi lagi pada zaman ini.”
Demikian kata-kata pelakon, Aedy Ashraf,32 meluahkan rasa sebak apabila membicarakan isu kekejaman terhadap rakyat Palestin yang disifatkan sebagai tragedi kemanusiaan paling memilukan dalam sejarah moden.
“Kalau orang tanya siapa hero, bagi saya hero sebenar adalah mereka yang pergi ke Misi Global Sumud Flotilla. Mereka langsung tidak ragu-ragu untuk terus berjuang membantu orang lain di peringkat antarabangsa.
“Semestinya hero yang paling saya sanjungi, ialah rakyat Palestin sendiri, yang sentiasa bertarung nyawa di sana.
“Pendirian saya untuk bersolidariti bersama Palestin bukan kerana status saya sebagai selebriti, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab sebagai seorang manusia yang masih punya hati dan perasaan,” luahnya.
Pelakon drama Tentang Bulan itu mengakui kadang kala berasa tidak berdaya kerana hanya mampu berdoa dan menzahirkan sokongan dari jauh.
“Saya tidak mampu hendak buat apa-apa, saya bersyukur dengan apa ada di sini tetapi apabila memikirkan mereka yang hendak makan pun disekat, nak hantar bantuan pun tidak boleh, sangat menyedihkan,” ujarnya.
Aedy juga menegaskan bahawa setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan keprihatinan, sama ada melalui media sosial ataupun secara sendirian.
“Ada orang lebih selesa bersuara di media sosial, ada juga yang pilih untuk senyap tetapi masih menyokong. Kedua-duanya penting. Saya guna platform saya di Instagram kerana saya percaya itu akan memberikan kesan yang besar. Ini bukan isu kecil, ini soal kemanusiaan.
“Doa dan sumbangan kita, walaupun secara peribadi dan senyap, tetap bermakna. Kita semua boleh memainkan peranan tersendiri. Ini tentang juga adalah tanggungjawab kita sebagai seorang manusia,” katanya.
Mengikuti perkembangan lain, Aedy kini sedang mempromosikan filem terbaru yang bertajuk Klepet dijangka membawa nafas segar kepada penonton.
Klepet bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 27 November tahun ini menampilkan tiga pelakon popular iaitu Aedy Asyraf, Nadhir Nasar dan Meerqen yang diarahkan oleh Indra Putra (Sanji).
Kolaborasi unik antara komik UNDER 18 dan filem Klepet bukan sahaja menggabungkan dua dunia kreatif, malah mencetus fenomena baharu dalam penceritaan visual tempatan.-UTUSAN