Hogoh Jelai tercapai sasaran walau tidak ramai

Hogoh Jelai tercapai sasaran walau tidak ramai

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Himpunan Hogoh Jelai anjuran Perikatan Nasional (PN) Pahang di Felda Sungai Koyan di sini, Ahad lalu diakui tidak mencapai sasaran kehadiran 30,000 orang seperti ditetapkan gabungan parti berkenaan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kejayaan program itu tidak semata-mata diukur menerusi angka kehadiran, sebaliknya semangat dan kesungguhan jentera PN menggerakkan akar umbi.

“Kita tidak mahu menilai kejayaan hanya pada jumlah kehadiran. Yang penting adalah semangat jentera dan kesungguhan mereka turun ke lapangan. Itu yang kita mahu pupuk menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tuan Ibrahim turut menyifat­kan program tersebut sebagai medan penyatuan dan pe­me­r­kasaan sokongan rakyat terhadap PN di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan Jelai.

Katanya, walaupun jumlah kehadiran ke program itu dilaporkan tidak melebihi 3,000 orang, jauh daripada sasaran awal 30,000, matlamat utama untuk menggerakkan jentera PN di seluruh Pahang dicapai dengan baik.

“Isu jumlah kehadiran ini bukan perkara baharu. Kalau tanya pihak lawan, mereka pasti kata sedikit, seperti mereka menilai himpunan ‘Turun Anwar’ dahulu pun berdasarkan jumlah sampah yang tinggal.

“Bagi kami dalam PN, perkara ini tidak penting. Yang penting adalah semangat dan penglibatan akar umbi yang datang dengan belanja sendiri, tanpa paksaan dan tanpa dibiayai mana-mana pihak,” katanya.

Menurut beliau, semua aktiviti berlangsung sejak awal pagi hingga malam itu diurus secara gotong-royong oleh jentera PN setempat dengan pelbagai program keagamaan, ceramah, pameran dan aktiviti komuniti dijalankan di bawah pembiayaan sendiri.

Hogoh Jelai turut menampilkan barisan kepemimpinan tertinggi PN antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain bekas pemimpin UMNO yang kini bersama PN seperti Tan Sri Annuar Musa.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, matlamat PN bukan sekadar menghimpunkan orang ramai di padang atau dewan, tetapi membina gelombang keyakinan dan kesiapsiagaan politik di seluruh Pahang.

“Ini bukan soal angka, tetapi soal denyut nadi perjuangan. Kita mahu jentera PN hidup dan bergerak, bukan hanya menunggu pilihan raya baru mahu muncul,” katanya.

Menjawab dakwaan bahawa program itu gagal mencapai objektif, beliau menegaskan bahawa Hogoh Jelai menghidupkan semula semangat kebersamaan antara Pas, Bersatu dan Gerakan di peringkat kawasan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN