KOTA TINGGI: Hasrat seorang anak yang mahu membelikan barangan keperluan umrah untuk ibunya tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 56 Lebuhraya Senai-Desaru, semalam, yang turut meragut nyawa dua rakannya.
Ibunya, Maryani Mohd. Zaini, 50, berkata anak bongsunya, Fazrizal Izuan Zuhaimi, 20, yang bekerja di Rapid Pengerang sepatutnya pulang ke rumah di Puncak Alam pada Isnin atau Selasa ini bagi menemaninya membeli kelengkapan umrah sebelum berangkat ke tanah suci Rabu depan.
“Kami dapat tahu tentang kemalangan itu sekitar pukul 5 petang selepas dimaklumkan oleh majikannya. Ketika kejadian, dia difahamkan keluar bersama kawan-kawannya.
“Kali terakhir saya berbual dengannya dua malam lepas. Dia beritahu nak ambil cuti sebab nak balik temankan saya beli barang umrah. Dia sempat cakap, ‘Ibu tunggu boy, nanti kita beli barang sama-sama’. Itulah kata-kata terakhir dia,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT), hari ini.
Maryani menyifatkan anaknya sebagai seorang yang penyayang, ringan tulang dan tidak pernah meninggikan suara kepada ibu bapa.
“Dia anak yang sangat baik, tak pernah susahkan orang. Semua kawan-kawan dia pun cakap begitu. Dia tahu saya mudah risau, jadi bila ditanya, dia selalu cakap ‘semua ok, ibu’,” katanya.
Sementara itu, bapanya, Zuhaimi Mahtar, 54, berkata keluarga akan mendapatkan khidmat nasihat peguam bagi menuntut keadilan atas tragedi yang menimpa anaknya.
“Saya reda dengan ketentuan Allah, tapi dari sudut undang-undang, kami akan pertimbangkan tindakan lanjut. Kematian dia perlu ada pembelaan,” katanya.
Semalam, media melaporkan rokok dipercayai seludup dijumpai dalam salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Fortuner yang membawa muatan rokok seludup memasuki laluan bertentangan dari arah Desaru ke Senai sebelum bertembung dengan Volkswagen Golf dinaiki mangsa.
Dalam kejadian itu, pemandu dan seorang penumpang Volkswagen Golf meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru. Seorang lagi penumpang kini dirawat di hospital sama.
Pemandu Toyota Fortuner dilaporkan cedera parah dan dirawat di HSI, manakala pemandu Honda CRV yang sempat mengelak tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN










