KUALA LUMPUR: Peserta program Talk To My Manager, Ehmad Hadie Elfardie, 17, mengakui dia perlu mengikis sikap introvert jika selepas ini memilih nyanyian sebagai bidang kerjaya.
Namun jelas anak Allahyarham Suhaimi Saad itu, perubahan itu mungkin mengambil masa dan tidak berlaku secara mengejut.
“Saya ini pemalu, tapi tidak dengan adik beradik saya.
“Saya sedar, kalau nak jadi penyanyi saya kena berubah. Insya-Allah, perlahan-lahan saya buang sikap introvert itu.
“Tak salah pun, selagi tidak melangkau batas,” kongsinya yang ditemui selepas konsert final Talk To My Manager Ahad lepas.
Hadie dan ibunya, Ina Naim pada konsert minggu lalu selesa berada pada kedudukan ke-4.
Anak sulung daripada empat beradik itu dalam masa yang sama berterima kasih kepada peminat yang memberi sokongan sepanjang pembabitannya dalam program tersebut.
“Terima kasih kepada penyokong saya, yang ramai dalam kalangan mereka merupakan peminat arwah ayah saya.
“Terima kasih kerana mendoakan. Saya anggap mereka ini macam keluarga jauh yang selalu doakan saya,” kongsinya. – UTUSAN