Hadiah untuk kesetiaan - Utusan Malaysia

Hadiah untuk kesetiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS 23 tahun perjalanan seni, penyanyi tersohor, Misha Omar menoktahkan penantian untuk menganjurkan konsert mega.

Tanggal 29 November ini bakal menyaksikan hasrat dilunaskan. Ia bukan penantian Misha semata-mata. Malah ribuan pencinta setia penyanyi asal negeri Kelantan ini.

Konsert Dia Misha Omar juga bakal menjadi simbolik kepada 23 tahun perjalanan karier beliau. Dan pada masa yang sama, persembahan istimewa itu juga menjadi hadiah untuk menghargai kesetiaan peminat.

Bercakap mengenai Misha Omar, peminat tahu penyanyi ini tahap dedikasinya cukup melangit. Ketika bibirnya menjanjikan hasil kerja terbaik, ibarat Misha melafazkan janji setianya.

Justeru tidak sesekali seorang Samiha @ Aisah Omar itu mengecewakan peminat yang setia menemani sepanjang lebih dua dekad perjalanan seninya.

“Yang datang menonton konsert saya nanti adalah peminat yang mengenali saya sejak dulu lagi. Mereka ini yang sanggup korban wang dan masa untuk bersama saya 29 November ini.

“Satu kurniaan Tuhan, apabila ada peminat yang sanggup bersama saya, ketika susah dan senang. Jadi, untuk mereka, saya hadiahkan persembahan terbaik,” katanya.

Misha membayangkan Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 29 November ini sebagai kapsul masa yang membawa peminat menelusuri perjalanan seninya.

Namun dia sedar, kapal tidak berlayar tanpa kelasi yang mengemudinya. Justeru, Misha menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pengarah artistik, Hamzah Tahir untuk mencorakkan kemenjadikan Dia Misha Omar.

“Saya berharap pandangan dan pendengaran penonton tertumpu kepada persembahan dari awal sampai akhir konsert.

“Saya mahu mereka merasakan seperti dibawa menaiki kapsul masa, kembali ke masa-masa tertentu dalam hidup mereka yang berkaitan dengan lagu-lagu saya.

“Peminat Misha Omar mahukan persembahan seperti itu. Saya yakin mereka sanggup beli tiket untuk hadir 29 November ini,” kongsinya.

VOKAL MASIH BERBISA

Tidak perlu kita persoalkan tentang nyanyian penyanyi ini. Yang harus digali adalah bagaimana dia kekalkan kualiti vokal yang sama selepas 23 tahun.

Kata Misha, kuncinya adalah ilmu dan latihan. Katanya, penting buat penyanyi berguru untuk kekalkan penguasaan.

“Selepas melahirkan Muhammad Idris Ezzwa, vokal saya mengalami perubahan nyata, tidak seperti sebelumnya.

“Saya ini tidak mudah menyerah, tetap cari jalan untuk dapatkan semula keupayaan nyanyian saya itu.

“Jadi sejak 2018, saya berguru dengan Datuk Syafinaz Selamat sampai sekarang.

“Alhamdulillah, range suara saya berjaya diselamatkan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Misha juga menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dalam mengembangkan potensi nyanyiannya.

“Bila belajar tentang vokal ini, kita dapat kenal pasti tahap kemampuan nyanyian sebenar kita.

“Saya dahulu cukup takut menyanyikan lagu bernada tinggi. Sekarang dengan ilmu yang dikongsikan Syafinaz, saya sedar,saya sebenarnya berkemampuan menyanyi nada tinggi dengan teknik yang betul,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN