KLANG: Penubuhan hab serantau Intra-Asia Tailwind di Pelabuhan Utara di sini, membuktikan keyakinan tinggi terhadap keupayaan pelabuhan, infrastruktur dan sektor logistik negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Tailwind sebagai syarikat perkapalan kontena yang berpengkalan di Jerman itu merupakan salah satu peruncit diskaun terkemuka Eropah, Lidl.
Jelas beliau, pemilihan Malaysia sebagai hab serantau itu dilihat mengukuhkan peranan negara sebagai pintu masuk utama perdagangan global.
“Kementerian Pengangkutan komited untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi syarikat perkapalan antarabangsa untuk terus berkembang maju di Malaysia.
“Menerusi penambahbaikan berterusan terhadap kecekapan pelabuhan, pendigitalan dan kelestarian, kita mahu terus memperkukuh kedudukan sebagai hab maritim dan logistik terkemuka di rantau ini,” katanya ketika berucap melancarkan hab itu hari ini.
Tailwind kini mengendalikan 11 buah kapal yang menghubungkan Asia dan Eropah antaranya menerusi perkhidmatan Panda Express (PAX) iaitu laluan dari China ke Mediterranean.
Selain itu, ia meliputi perkhidmatan Tiger Express (TEX) menghubungkan Bangladesh, Malaysia, Vietnam dan Sri Lanka manakala Dolphin Express (DEX) membawa barangan antara Barcelona di Sepanyol dan Moerdijk di Belanda.
Tambah Anthony Loke, pelancaran hab itu turut menjadi simbol kerjasama erat Malaysia dan Kesatuan Eropah yang berasaskan perdagangan, pelaburan dan nilai bersama.
“Ia menunjukan keyakinan terhadap keupayaan pelabuhan, infrastruktur dan profesionalisme sektor logistik negara.
“Ini termasuk usaha meningkatkan kecekapan pelabuhan, pendigitalan logistik dan mempertingkatkan kelestarian selaras piawaian alam sekitar global,” ujarnya. – UTUSAN










