Guna motosikal ibu buat aksi berbahaya - Utusan Malaysia

Guna motosikal ibu buat aksi berbahaya

REMAJA yang ditahan dalam operasi itu di Lebuhraya NKVE, Shah Alam, Selangor. -FOTO/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan seorang remaja lelaki menggunakan motosikal ibunya untuk melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berdekatan Plaza Tol Bukit Raja di sini, memakan diri apabila ditahan polis awal pagi tadi.

Remaja berusia 15 tahun yang masih bersekolah itu mengambil motosikal berkenaan tanpa pengetahuan sebelum pergi ke lokasi bersama beberapa rakannya.

Menurutnya, dia pada awalnya sekadar mahu menyaksikan lumba haram di lokasi itu namun terpengaruh untuk turut melakukan aksi berbahaya.

“Deruman enjin motosikal yang bising dan sorakan rakan-rakan membuatkan saya teruja sehingga terlupa risiko bakal dihadapi. Saya amat menyesalinya dan takut dimarahi ibu selepas tahu saya ditahan,” katanya.

Tambah remaja itu, dia sudah beberapa kali datang untuk menonton perlumbaan tanpa pengetahuan keluarganya sebelum ini.

“Saya sebelumnya hanya menonton dari jauh namun kali ini terjebak dengan rakan sebaya yang mengajaknya cuba menunggang di laluan sama.

“Perbuatan itu memang salah dan kini sedar akan bahaya serta malu dengan diri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, laluan berkenaan sememangnya menjadi tumpuan penunggang motosikal terutama golongan remaja yang gemar melakukan aksi berbahaya pada malam minggu.

“Hasil risikan mendapati kegiatan itu sering kali berlaku dan melibatkan jumlah penunggang yang ramai. Lokasi itu memang menjadi tumpuan dan beberapa operasi telah dijalankan sebelum ini namun masih ramai yang tidak serik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN