Guan Eng dakwa larangan alkohol di dewan sekolah cetus keresahan

Guan Eng dakwa larangan alkohol di dewan sekolah cetus keresahan

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berhubung larangan menghidangkan alkohol di semua kawasan sekolah termasuk dewan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dianggap keterlaluan dan tidak wajar kerana mencampuri urusan tradisi masyarakat yang telah diamalkan sejak merdeka tanpa sebarang masalah.

Katanya, penyajian minuman beralkohol dalam majlis seperti kenduri kahwin, jamuan kuil atau acara kebudayaan di dewan sekolah Cina tidak pernah melibatkan pelajar dan tidak menjejaskan imej pendidikan sekolah.

“Walaupun Anwar menegaskan bahawa larangan alkohol itu bukan bertujuan untuk memaksakan nilai dan pandangan Islam ke atas bukan Islam, tetapi bagi menegakkan prinsip sekolah sebagai tempat pendidikan untuk kanak-kanak, masyarakat Cina tetap tidak bersetuju.

“Ketidakpuasan hati masyarakat Cina berpunca daripada persoalan ‘mengapa Anwar membiarkan dirinya tunduk kepada desakan golongan ekstremis dan perkauman’,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, campur tangan sebegini hanya akan menimbulkan keresahan dan ketegangan kaum sekiranya kerajaan terus mengabaikan sensitiviti masyarakat bukan Islam.

“Malah ketika Pas berada dalam kerajaan, parti itu tidak pernah mencampuri urusan sekolah rendah Cina dan majlis sebegini diteruskan tanpa gangguan.

“Persoalannya, selepas alkohol, apakah sasaran seterusnya? Adakah makanan tradisi seperti daging babi juga akan diharamkan di majlis masyarakat Cina?,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sedang berunding dengan Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian yang boleh mengekalkan kebebasan budaya masyarakat Cina tanpa menjejaskan dasar kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN