KUALA LUMPUR: MBSB Berhad dengan kerjasama MIDF melancarkan Global Market Access Accelerator (GLOMAX), bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan (MTC) menembusi pasaran antarabangsa secara lebih tersusun dan mampan.
Pengerusi MBSB Berhad, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, inisiatif dengan peruntukan RM100 juta itu akan dilaksanakan melalui agensi MITI iaitu Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).
Ujarnya, ia direka khusus untuk melengkapkan syarikat tempatan dengan keupayaan kewangan, nasihat pakar serta hubungan ekosistem yang diperlukan untuk meningkatkan kredibiliti rantaian bekalan dan daya saing global.
“Tidak seperti inisiatif promosi perdagangan yang hanya menumpu kepada fasilitasi pasaran, GLOMAX memastikan syarikat-syarikat Malaysia benar-benar bersedia dari segi pembiayaan sebelum melangkah keluar negara.
“Program ini menyasarkan sekurang-kurangnya 50 PKS dan syarikat pertengahan (MTC) untuk dipersiapkan menembusi pasaran global dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada MBSB Group Anchor Companies Open Day & Vendor Business Matching Sessions di sini, semalam.
Majlis pelancaran turut disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Selain akses modal kerja, PKS juga akan menerima sokongan nasihat dan kolaborasi bersama agensi utama seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Pusat Pembangunan Rekaan Malaysia (DDEC) serta rakan pasaran antarabangsa.
Menurut Wan Kamaruzaman, program itu selari dengan arah tuju Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk memperluaskan asas vendor, meningkatkan kandungan tempatan serta meletakkan firma Malaysia di kedudukan lebih kukuh untuk bersaing di peringkat serantau dan global.
“Apabila PKS berjaya naik taraf ke tahap pembekal Tier-1 (pembekal utama) dan Tier-2 (pembekal sokongan), manfaatnya bukan sahaja menurunkan kebergantungan import, malah turut mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta membantu Malaysia mendaki rantaian nilai,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan peranan MBSB sebagai pemangkin pertumbuhan melalui penyediaan ekosistem menyeluruh merangkumi pembiayaan, khidmat nasihat, pensijilan dan disiplin operasi untuk membolehkan vendor tempatan berkembang.
“Sepanjang acara berkenaan, lebih 370 sesi padanan perniagaan prajadual diatur antara syarikat teras (anchor companies) dan vendor tempatan, di samping forum, ceramah ringkas serta pameran mengenai kelayakan vendor, bantuan pembiayaan, penerapan ESG dan kisah kejayaan industri.
“Menerusi perkhidmatan perbankan patuh syariah sepenuhnya bersama MBSB Bank dan MIDF, kami mahu muncul sebagai peneraju dalam memacu kerjasama vendor–anchor, sekali gus menyokong aspirasi NIMP 2030 untuk memperkukuh ekosistem industri negara,” ujarnya. – UTUSAN










