Gerak solo tak semestinya BN perlu tanding semua kerusi - Hassan Karim

Gerak solo tak semestinya BN perlu tanding semua kerusi – Hassan Karim

HASSAN Abdul Karim melakukan pemeriksaan kesihatan pada Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma yang diadakan di Kipmall Masai, Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) perlu menghormati pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) sekiranya mereka bergerak secara solo untuk berdepan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, BN juga perlu bertolak ansur dengan tidak bertanding di kesemua kerusi dalam siri pilihan raya berkenaan.

Menurutnya, walaupun tiada kerjasama politik antara BN dan PH dalam pilihan raya, namun tolak ansur dan persefahaman perlu wujud memandangkan kedua-duanya merupakan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya lihat keputusan kepimpinan BN (bergerak solo) khususnya di peringkat negeri mungkin adalah yang terbaik buat mereka, kerana mereka ketika ini berada di tempat sukar berbanding sebagai sebuah gabungan politik yang pernah mentadbir negara sebelum ini.

“PH perlu hormati keputusan itu, bagaimanapun dalam masa sama, tapi ada kawasan tidak perlu mereka bertanding sebagai tanda menghormati rakan kerjasama pusat, perlu ada tolak ansur juga,” katanya ketika ditemui pada Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma yang diadakan di Kipmall Masai di sini hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN telah membuat keputusan untuk bertanding secara solo dengan menggunakan lambangnya dalam semua PRN bermula PRN Sabah Ke-17.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut akan disusuli dengan PRN Melaka, PRN Johor serta PRU16.

Hassan berkata, perkembangan tersebut menunjukkan politik Malaysia semakin berkembang dan bersifat dinamik.

“Situasi tidak lagi seperti dahulu iaitu mesti bekerjasama sebelum pilihan raya baharu boleh bekerjasama, sebaliknya selepas sudah berlawan dalam pilihan raya, baharu jalin kerjasama bagi membentuk kerajaan.

“Ini satu perkara positif, apa pun jika betul UMNO dan BN telah buat keputusan bergerak solo, PH akan menari mengikut rentak BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN