PUTRAJAYA: Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-Kes Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2025 bakal menjadi panduan utama dalam melindungi hak kanak-kanak ketika berdepan proses undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, garis panduan tersebut bukan sekadar dokumen baharu, sebaliknya mencerminkan usaha menyeluruh pentadbiran dan perundangan negara.
“Ia menzahirkan komitmen bersama seluruh institusi perundangan dan pentadbiran negara untuk memperkukuh sistem keadilan yang lebih adil, inklusif dan berperikemanusiaan.
“Dulu kita sudah ada garis panduan, tapi pada 2025, kita kemas kini dan lengkapkan supaya lebih menyeluruh. Ketua Hakim Negara juga akan membantu memastikan pemahaman ini diperluas dalam sektor kehakiman,,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Garis Panduan Khas Pengendalian Kes-Kes Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2025, di sini, hari ini.
Azalina berkata, garis panduan yang dikemas kini itu memberi penekanan kepada pendekatan keadilan peka trauma (trauma-informed justice) dengan memperincikan proses pelaporan, siasatan dan tatacara prosiding mahkamah yang mengambil kira kesejahteraan emosi mangsa.
Katanya lagi, dokumen itu akan diterbitkan dalam bentuk digital dan dwibahasa, bagi memastikan ia mudah diakses oleh semua pihak berkepentingan termasuk polis, pendakwa raya, pegawai kebajikan, hakim serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam kes melibatkan kanak-kanak.
Tambahnya, walaupun garis panduan itu belum bersifat mengikat secara undang-undang, ia tetap menjadi asas penting bagi menyelaras amalan terbaik dalam pengendalian kes melibatkan kanak-kanak. – UTUSAN









