GEORGE TOWN : Pulau Pinang dijangka memiliki satu lagi mercu tanda baharu apabila sebuah bangunan unik yang dibina seakan menyerupai penyu gergasi iaitu Galeri Seni Lin Xiang Xiong (LXX) siap sepenuhnya dalam tempoh kurang dua bulan lagi.
Pengasas galeri itu, Profesor Lin Xiang Xiong berkata, seni binaan bangunan tersebut diilham berdasarkan reka bentuk penyu kerana ia melambangkan simbol umur yang panjang, kebaikan serta kemakmuran dalam budaya Cina.
Beliau berkata, selain berfungsi sebagai muzium, galeri berkenaan juga akan dijadikan lokasi penganjuran simposium antarabangsa, pameran artis jemputan serta program pendidikan untuk memupuk persefahaman antara Timur dan Barat melalui bahasa kreativiti yang dikongsi apabila siap kelak.
“Malaysia sentiasa menjadi titik pertemuan budaya iaitu tempat di mana idea, tradisi dan nilai mengalir bersama. Dengan melabuhkan visi ini di Pulau Pinang, saya berharap untuk menghormati semangat itu dan berkongsi dengan dunia bagaimana seni boleh melangkaui sempadan.
“Justeru, galeri ini bukan sahaja penghormatan kepada kreativiti Malaysia, tetapi juga satu peringatan bahawa keamanan dan kemajuan bermula dengan memahami satu sama lain,” kata tokoh seni kelahiran Singapura itu kepada pemberita ketika meninjau galeri tersebut di sini, petang semalam.
Terletak berhampiran The Light Waterfront di Gelugor, galeri setinggi lapan tingkat dengan keluasan 86,929 kaki persegi serta menelan belanja kira-kira RM100 juta itu kini memasuki fasa akhir pembinaan sebelum ia dibuka secara rasmi pada 14 Disember ini.
Bertemakan falsafah ‘Seni untuk Keamanan’, galeri tersebut dijangka menampilkan lebih 300 karya seni asli di samping koleksi berputar lebih daripada 1,000 karya, menjejaki perjalanan kreatif enam dekad artis merentasi Asia dan Eropah.
Selain galeri, bangunan tersebut juga menawarkan beberapa ruangan pejabat untuk disewa serta kawasan khusus untuk perniagaan runcit dan makanan dengan berlatarbelakangkan pemandangan laut Pulau Pinang yang indah.-UTUSAN










