Fitnah, kemarahan, ketidakstabilan: Dua wajah umat tanpa kendali iman

Fitnah, kemarahan, ketidakstabilan: Dua wajah umat tanpa kendali iman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bayangkan pagi-pagi kita membuka telefon, jari pantas menatal media sosial dan belum sempat meneguk kopi, sudah ada kisah sensasi terpampang.

Nama seseorang trending, kisah aibnya dijadikan bahan ketawa dengan ratusan ribu komen muncul.

Ada yang mengecam, menyindir dan menokok tambah cerita. Kita rasa terhibur, lalu kita tekan butang kongsi.

Nampak remeh, tapi itulah permulaan sebuah dosa yang besar. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya orang-orang yang suka agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat.” (An-Nur:19).

Ayat ini jelas menyatakan yang menyebarkan aib orang lain bukan sekadar salah daripada sudut akhlak, tetapi juga satu jenayah rohani.

Malangnya, kita sering menganggapnya ‘hiburan’, padahal setiap perkongsian adalah saksi yang akan menjerat diri di akhirat. Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

“Barangsiapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Hadis riwayat Muslim).

Hari ini, kita lebih cepat membuka aib orang daripada menutupnya. Kita lebih ghairah membincangkan dosa orang daripada menangisi dosa sendiri.

Dalam masa sama, di jalanan pula berlaku satu lagi drama masyarakat.

Rakyat berkumpul menuntut keadilan, pada awalnya laungan penuh semangat, namun tidak lama kemudian, api emosi membakar.

Batu dilempar, kedai-kedai rosak, darah tumpah dan yang kalah adalah rakyat biasa juga.

Firman Allah SWT:
“Dan jika dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah kembali maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Hujurat:9).

Islam menegaskan, dalam konflik sekalipun, prinsipnya ialah damai dan adil. Bukannya marah melulu yang hanya menambah luka.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan: “Bukanlah orang kuat itu yang menang bergusti, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menahan dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Inilah kekuatan sebenar. Malangnya, kita lebih mudah melepaskan marah berbanding menahannya.

 

JARI LEBIH TAJAM DARIPADA PEDANG
Jika kita renungkan, fenomena gosip media sosial dan rusuhan di jalanan ini sebenarnya lahir daripada punca sama: hati yang tidak dikawal oleh iman.

Imam al-Ghazali menulis yang kebanyakan dosa manusia berpunca daripada lidah.

Hari ini, lidah itu sudah bertukar menjadi jari yang menaip di papan kekunci.

Dulu, kata orang, mulut lebih tajam dari pedang. Hari ini, jari di telefon lebih tajam daripada pedang.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah seluruh tubuh. Jika ia rosak, rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah, ia adalah hati.” (Hadis riwayat al-Bukhari & Muslim).

Hasan al-Basri pula berkata: “Kerosakan hati adalah punca kerosakan masyarakat. Bila hati-hati dibersihkan, masyarakat akan baik dengan sendirinya.”

Kata-kata ini ibarat kunci yang menjelaskan seluruh realiti kita hari ini. Bila hati gelap dengan nafsu dan marah, ia akan menular menjadi kerosakan dalam keluarga, masyarakat malah negara.

Mari kita lihat lebih dekat. Seorang ibu mungkin berkata: “Anak saya jadi murung sebab dibuli di media sosial.”

Seorang peniaga kecil mengeluh: “Gerai saya habis rosak sebab rusuhan. Apa salah saya?” Sering kali mangsa sebenar bukan orang besar, tetapi orang biasa seperti kita.

Inilah akibat bila emosi mengatasi iman. Fitnah yang disebarkan boleh menghancurkan jiwa seseorang.

Rusuhan yang kita sokong boleh merosakkan periuk nasi orang lain. Dalam kedua-dua keadaan, yang rugi ialah masyarakat sendiri.

Allah SWT mengingatkan: “Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Sad:26).

Ayat ini bukan sekadar nasihat, tetapi amaran. Nafsu yang dibiarkan bebas akan menjerumuskan kita ke jalan kebinasaan.
solusi Islam

Pertama, tabayyun. Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada

suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya, sehingga menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu.” (Al-Hujurat:6).

Kedua, kawal emosi. Nabi SAW bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu marah, maka diamlah.” (Hadis riyawat Ahmad). Diam itu bukan tanda kalah, tetapi tanda bijak.

Ketiga, pilih jalan damai. Perbezaan pandangan tidak harus berakhir dengan permusuhan. Dalam masyarakat majmuk, syura dan hikmah jauh lebih berkesan daripada provokasi dan kekerasan.

Keempat, gunakan media sosial sebagai ladang pahala. Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Kalau setiap orang berkongsi satu kebaikan sehari, bayangkan betapa cepatnya cahaya Islam tersebar.

Akhirnya, kita semua ada pilihan. Sama ada mahu jadi bahan bakar fitnah atau menjadi air yang memadamkan api.

Sama ada mahu jadi penyokong rusuhan, atau menjadi suara perdamaian. Islam hadir bukan sekadar untuk memberi hukum, tetapi untuk mengajar manusia cara hidup yang penuh rahmat.

Mungkin artikel ini dibaca oleh seorang ayah yang resah melihat anaknya tenggelam dalam dunia media sosial. Mungkin ia dibaca oleh seorang ibu yang takut anaknya terpengaruh dengan budaya marah di

jalanan. Mungkin ia dibaca oleh anak muda yang sedang bergelut antara emosi dan iman. Pesan saya mudah: lihatlah semua ini sebagai cermin untuk kita bermuhasabah.

Marilah kita berdoa dengan rendah hati:

“Ya Allah, bersihkanlah hati kami daripada sifat dengki, marah dan suka menyebarkan aib. Jadikanlah lidah dan jari kami alat untuk kebaikan. Lindungilah masyarakat kami daripada fitnah yang merosakkan, daripada kemarahan yang membinasakan, dan daripada ketidakstabilan yang meruntuhkan keamanan. Jadikanlah kami hamba-Mu yang sabar, yang mencari damai, dan yang menyebarkan kasih sayang.”

Jika doa ini benar-benar kita hayati, insya-Allah kita akan melihat dunia yang lebih aman, baik di ruang maya, mahupun di jalanan.

-Penulis ialah Pensyarah Pusat Asas Pengajian (CFS), Management and Science University (MSU)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×