KUALA LUMPUR: Finland secara rasmi menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) menjadikannya negara ketiga menyertai perjanjian itu di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Penyertaan Finland menjadikan keseluruhan 58 negara menyertai perjanjian itu, selepas Algeria serta Uruguay pada Julai lalu sekali gus memperkukuh peranan ASEAN sebagai jambatan kerjasama antara wilayah dan benua.
Finland diwakili Menteri Luar, Elina Valtonen memeterai komitmen rasmi negara itu dan disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Ditubuhkan pada 1976, TAC mengandungi prinsip sejagat mengenai kewujudan bersama secara aman dan kerjasama dalam kalangan negara anggota.
Ia berperanan sebagai kod yang mengikat secara sah antara negara di Asia Tenggara serta meluaskan pengaruhnya melangkaui rantau berkenaan.
Negara yang menyertai perjanjian itu termasuk kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah.-UTUSAN
ELINA Valtonen (kiri) ketika menyerahkan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC) kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Him Hourn (kanan) sambil disaksikan oleh Mohamad Hasan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK










