FFM34: Finas tidak campur tangan pencalonan, juri diumum malam anugerah- Hans Isaac - Utusan Malaysia

FFM34: Finas tidak campur tangan pencalonan, juri diumum malam anugerah- Hans Isaac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tidak campur tangan dalam proses pemilihan calon Top 5 Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada panel juri profesional.

Pengerusinya, Datuk Hans Isaac berkata, Finas hanya berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan kelancaran penganjuran acara tersebut tanpa sebarang pengaruh terhadap keputusan yang dibuat panel juri.

“Segala keputusan juri adalah bebas dan afinas serta Kementerian Komunikasi tidak mencampuri urusan tersebut.

“Finas hanya sebagai fasilitator memastikan pelaksanaan FFM34 berjalan lancar,” katanya ketika ditemu Utusan Malaysia di majlis pengumuman Top 5 Festival Filem Malaysia ke-34, baru-baru ini.

Beliau berkata ketika diminta mengulas berhubung pencalonan beberapa filem sama dalam kategori serupa bagi edisi kali ini.

Mengulas lanjut, Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac berkata, persaingan pada tahun ini dianggap sengit susulan peningkatan ketara dari segi kualiti filem dan bakat anak tempatan.

“Saingan sangat hebat tahun ini. Kualiti produksi dan mutu lakonan semakin baik.

“Malah, juri sendiri berdepan kesukaran untuk membuat pemilihan kerana peningkatan industri yang ketara,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau mengakui bahawa sebarang persepsi negatif atau kritikan adalah lumrah dalam mana-mana industri kreatif yang sedang berkembang.

“Dalam mana-mana industri pun, pasti ada pandangan positif dan negatif. Kadangkala sesetengah pembikin filem belum mencapai tahap tertentu,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai barisan juri FFM34, Hans berkata, identiti panel kekal rahsia dan hanya akan diumumkan semasa malam anugerah.

“Identiti juri hanya akan diumumkan secara rasmi pada malam anugerah, 1 November ini. Segala maklumat termasuk bilangan juri akan dikongsikan ketika itu. Sekarang, tiada siapa tahu siapa mereka,” katanya.

Malam kemuncak Anugerah Festival Filem Malaysia ke-34 dijadual berlangsung pada 1 November 2025 bertempat di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN