RIGA: Skuad kebangsaan England menepati ramalan untuk mara ke Piala Dunia 2026 selepas mengesahkan slot ke kejohanan terbesar dunia itu dengan menewaskan Latvia 5-0, semalam.
Tiada keraguan untuk England mara ke Piala Dunia buat kali kesembilan berturut-turut selepas skuad kendalian Thomas Tuchel mempamerkan aksi cemerlang di peringkat kelayakan.
Gol pertama hadir pada minit ke-25 selepas Anthony Gordon melakukan gerakan dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Latvia, Krisjanis Zviedris.
Kapten England, Harry Kane turut menjadi tumpuan apabila meledak dua gol sebelum rehat untuk mengukuhkan penguasaan The Three Lions di Stadium Daugava
Djed Spence turut mencipta peluang apabila hantarannya tertampan pemain lawan, Maksims Tonisevs untuk gol sendiri pada minit ke-57, sebelum pemain gantian, Eberechi Eze menutup malam gemilang England dengan jaringan kelima di hujung permainan.
Skuad bimbingan Tuchel kini mengumpul maksimum 18 mata daripada enam perlawanan dengan 18 gol tanpa bolos, menjadikan mereka pasukan Eropah pertama mengesahkan tempat ke Piala Dunia.
Albania di tangga kedua dengan 11 mata, diikuti Serbia (10) yang menewaskan Andorra, manakala Latvia kekal dengan lima mata.
“Satu lagi kejohanan besar menanti. Kami jadikannya nampak mudah, tetapi hakikatnya kami fokus setiap perlawanan. Tidak kira lawan siapa, kami mahu kekal dengan standard tinggi dan teruskan momentum ini,” kata Kane.
Ujian sebenar bakal menanti England jika mahu menamatkan penantian sejak menjulang trofi Piala Dunia 1966, namun dari segi kelayakan, rekod mereka sukar ditandingi.
England kini tidak tewas dalam 37 perlawanan kelayakan Piala Dunia sejak 2009, walaupun rekod 66 perlawanan tanpa kalah milik Sepanyol (1993–2021) tampak sukar dipecahkan.
Tuchel menyempurnakan tugasan awalnya dengan membawa England ke pusingan akhir di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun depan, malah kelihatan ceria meraikannya bersama pemain dalam hujan diiringi sorakan penyokong.
“Persembahan hebat, keputusan sempurna dengan enam kemenangan, enam perlawanan tanpa bolos. Saya sangat gembira. Suasana bilik persalinan amat positif. Kami dominan, laparkan kejayaan dan berada di landasan betul.
“Kami bermain dengan tekanan tinggi dan gaya fizikal, tetapi semua pemain beri komitmen penuh. Satu keseronokan melatih mereka. Langkah demi langkah, kami semakin hamper,” kata Tuchel.
England akan menamatkan kempen kelayakan dengan aksi di laman sendiri menentang Serbia dan bertandang ke Albania bulan depan. – AGENSI/UTUSAN