Empat warga asing mengaku salah miliki 4,002kg gas LPG tanpa lesen - Utusan Malaysia

Empat warga asing mengaku salah miliki 4,002kg gas LPG tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat lelaki warga asing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bangi dekat sini hari ini atas pertuduhan memiliki 4,002 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) secara borong tanpa lesen, Rabu lalu.

Tiga tertuduh warga Indonesia, Fauzan, 25; Yusrijal, 26; dan Ridwanuddin, 24, serta seorang warga Myanmar, Myo Naing Oo, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.

Bagaimanapun, mahkamah hanya akan menjatuhkan hukuman bagi kesemua tertuduh pada 24 Oktober ini.

Pada tarikh sama, kes terhadap seorang lagi tertuduh, S. Dashenthiran, 27, yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama juga ditetapkan untuk sebutan semula.

Bagi tertuduh yang mengaku bersalah, mereka bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu gas petroleum cecair seberat kira-kira 4,002 kg secara borong dan tanpa lesen yang sah di sebuah premis di Semenyih, pada pukul 5 petang, 15 Oktober lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Ulul Azmi Khairil Amri manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN