PUTRAJAYA: Kesemua empat suspek lelaki yang disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka minggu lalu, telah dibuang sekolah.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad menerusi sidang akhbar khas di sini hari ini.
Menurut beliau, Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang pada pagi tadi telah menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap semua suspek yang terlibat.
“Kita inginkan keadilan dapat ditegakkan dan sesiapa saja yang bersalah, Kementerian
Pendidikan (KPM) bertegas mereka perlu dihukum. Pada waktu ini, semua murid yang menjadi suspek kes telah ditahan reman oleh pihak polis.
“Kebenaran untuk suspek menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sama sekali bermakna mereka akan terlepas dari hukuman.
“Ia tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan. Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap kita akan berikan, sementara kes yang melibatkan mereka akan diputuskan oleh pihak yang berkaitan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, suspek yang terlibat juga tidak akan mengambil SPM di sekolah.
Sebaliknya, kata beliau, suspek akan berada di tempat berasingan yang ditetapkan, sama ada di tempat tahanan atau di lokasi yang berasingan dari pusat di sekolah mereka.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua pentadbir di institusi pendidikan di bawah KPM di seluruh negara untuk mengambil tindakan dan meletakkan keperluan meningkatkan pemantauan dan keberkesanan aspek keselamatan di institusi masing-masing.
“Pada masa yang sama, ibu bapa dan masyarakat juga disuruh untuk turut bersama bekerjasama memastikan ekosistem yang selamat untuk anak-anak di sekolah dan di luar sekolah,” katanya.
Semalam, media melaporkan empat pelajar yang disyaki terbabit dalam kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah menengah di Alor Gajah dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang dijadual bermula 3 November depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, keputusan itu dibuat untuk memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu meskipun mungkin terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa, susulan kes berkenaan.