KEMAMAN : Dua lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung di Kilometer 145 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat berdekatan sebuah kilang membuat besi keluli, berhampiran Teluk Kalong, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa Shamsuddin Yusof, 39, dan Mohd. Alis Ismail, 36, masing-masing dalam perjalanan ke tempat kerja meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kepala.
Difahamkan, ketika kejadian, Shamsuddin yang bekerja di kilang besi itu dipercayai menunggang motosikal di laluan bertentangan menyebabkan Mohd. Alis yang merupakan kakitangan Syarikat Air Terengganu (SATU) sedang dalam perjalanan ke Kerteh, gagal mengelak dan mengakibatkan mereka bertembung.
Pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut. – UTUSAN









