PETALING JAYA: Sembilan delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Miles to Gaza (TMTG) dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4 petang ini.
Mereka bakal berangkat dari Lapangan Terbang Istanbul, selepas dibebaskan pihak berkuasa Israel Jumaat lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, pihaknya telah menerima pengesahan mengenai ketibaan semua delegasi terbabit dan akan berada di KLIA untuk menyambut mereka.
“Saya baru sahaja mendarat di KLIA pada pukul 11 pagi tadi selepas pulang dari Istanbul. Saya dan wakil MyCARE akan ke KLIA semula bagi menyambut kesemua sembilan delegasi Malaysia yang akan tiba pada pukul 4 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Pada Jumaat lalu, beliau bersama pasukan MyCARE berangkat ke Istanbul bagi menyalurkan bantuan pakaian kepada para delegasi selepas semua barangan peribadi mereka dirampas ketika ditahan tentera Zionis.
Misi itu diketuai Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali bersama lapan lagi aktivis iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, Dr. Fauziah Mohd. Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi, Dr. Mohd. Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Terdahulu, Wisma Putra mengesahkan sembilan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan dibebaskan dan diterbangkan dari Israel melalui penerbangan Turkish Airlines TK6921.
Mereka tiba di Istanbul pada pukul 2.30 petang waktu tempatan dan kesemua aktivis dijangka pulang ke tanah air pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan FFC-TMTG disahkan ditunda dengan kesemua aktivis atas kapal termasuk sembilan rakyat Malaysia dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev, Israel. – UTUSAN










