‘DAP patut jadi PM kerana banyak kerusi Parlimen’ - Utusan Malaysia

‘DAP patut jadi PM kerana banyak kerusi Parlimen’

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas tidak pernah membangkitkan isu mengenai jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, sebaliknya keutamaan parti itu adalah memastikan peranan pembangkang terus berfungsi dengan baik dalam Dewan Rakyat.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya tidak menjadikan kedudukan Ketua Pembangkang sebagai perkara utama kerana yang lebih penting ialah memastikan kerajaan sedia ada dapat ditukar.

“Pas tidak pernah bangkitkan pun isu jawatan Ketua Pembangkang ini. Yang penting suara dapat dibangkit di Parlimen dan yang lebih penting, kerajaan ini wajib ditukar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Mingguan Malaysia melaporkan, Pas yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terba­nyak dalam blok pembangkang sepatutnya mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari dilaporkan berkata, langkah berkenaan selaras dengan amalan sistem Westminster, namun kelemahan Pas ialah ketiadaan tokoh berkaliber untuk menggalas tanggungjawab tersebut, yang kini disandang Ahli Parlimen Larut merangkap Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Susulan kenyataan itu, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan tindakan Abdul Aziz dengan membangkitkan persoalan mengenai pendirian DAP sendiri. 

“Atau adakah sebenarnya ADUN DAP ni nak kata DAP yang patut jadi Menteri Besar Perak kerana kerusi DUN DAP lebih banyak dari UMNO? Atau DAP yang patut jadi Perdana Menteri kerana kerusi Parlimen DAP lebih banyak dari PKR?”, soalnya. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN