Cuepacs minta KGT pembantu tadbir dinilai semula - Utusan Malaysia

Cuepacs minta KGT pembantu tadbir dinilai semula

ADNAN MAT (tengah) bersama Sivanesan (kanan) menyertai Program Fun Run AUEGCAS Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan diminta menilai semula kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Skim Pembantu Tadbir di seluruh negara bagi memastikan ia setimpal dengan tanggungjawab yang dipikul penjawat awam dalam kumpulan berkenaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat berkata, penilaian semula itu wajar dilakukan memandangkan golongan berkenaan kini melaksanakan tugas yang jauh melangkaui skop fungsi asal sebagai pembantu tadbir.

Katanya, ketika ini ramai dalam kalangan pembantu tadbir memiliki kelayakan akademik yang lebih tinggi termasuk diploma dan ijazah, malah ada yang mempunyai kelulusan sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

“Walaupun skim ini menetapkan kelayakan masuk minimum pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun kebanyakan penjawat awam dalam skim ini, kini memiliki kelayakan yang jauh lebih tinggi.

“Mereka telah memanfaatkan kepakaran serta kelayakan tersebut dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya ketika ditemui pada Program Fun Run Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Program yang disertai seramai 600 peserta itu dirasmikan oleh Pengerusi Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan.

Mengulas lanjut Adnan berkata, semakan semula KGT bagi Skim Pembantu Tadbir tidak melibatkan implikasi kewangan besar kepada kerajaan.

“Bagi kami, cadangan ini tidak memberi kesan ketara dari segi kewangan kerana gaji mereka ketika ini setara dengan kadar semasa.

“Perbezaannya hanyalah pada kadar KGT yang meningkat daripada RM100 kepada RM145 iaitu tambahan sebanyak RM45 bagi setiap pembantu tadbir yang dinaikkan ke gred N5.

“Permohonan semakan ini juga bukan perkara baharu kerana kami telah memperjuangkannya sejak tahun 1992,” katanya.

Menerusi laporan media pada 27 September lalu, Cuepacs menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap nasib hampir 300,000 pembantu tadbir di seluruh negara dengan menambah baik skim perkhidmatan jawatan tersebut.

Terdapat tiga cadangan utama dikemukakan iaitu pembantu tadbir yang kini berada pada gred N19 boleh ditingkatkan ke gred N25 atau N29 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Manakala cadangan kedua membabitkan pemberian ‘one-off’ kepada mereka yang mempunyai kelayakan lebih tinggi daripada SPM selain pegawai yang telah dilantik pada gred N19 dan genap 15 tahun berkhidmat sebagai pembantu tadbir boleh diberi pilihan naik ke gred N25.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN