IPOH: Program pembangunan sukan anjuran UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi inisiatif ‘UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara’ berjaya mencungkil dan melahirkan seramai 29 pemain berbakat dalam sukan boling.
Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, 29 pemain berpotensi itu dipilih dalam kalangan 120 pelajar daripada empat sekolah yang berjaya menamatkan latihan intensif selama 16 minggu di bawah bimbingan bekas atlet boling kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.
Katanya, daripada keseluruhan 29 pemain itu, lima peserta terbaik akan dipilih menyertai fasa latihan lanjutan sebagai persediaan ke peringkat lebih tinggi.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar berpotensi khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah untuk mengembangkan bakat dalam sukan boling sambil membina jati diri, disiplin dan semangat perpaduan.
“Melalui kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta, UDA melihat program ini sebagai wadah untuk mengangkat sukan boling sebagai platform pembangunan holistik untuk generasi muda,” katanya berucap pada Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara di pusat boling Lite Superbowl JB9 di Angsana Ipoh Mall, di sini hari ini.
Menurut beliau, program yang dirintis di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA itu memberi ruang dan akses kepada pelajar melibatkan diri dalam sukan boling yang lazimnya memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
“Sukan boling yang memerlukan perbelanjaan dan kos penyertaan tinggi sering menidakkan peluang penyertaan bakat-bakat muda yang berada di bangku persekolahan terutamanya daripada kumpulan B40.
“UDA yakin dalam kelompok ini tersembunyi bakat besar yang mampu diketengahkan sebagai juara sekiranya diberi ruang, peluang, bimbingan dan sokongan.
“Selaras dengan sambutan Hari Sukan Negara, inisiatif ini menjadi platform untuk menyokong agenda negara dalam membudayakan gaya hidup sihat dan memperkukuh pembangunan sukan di peringkat akar umbi,” katanya.
Menurut Mohd. Annuar, melalui program pembangunan sukan itu juga, beliau menyasarkan untuk melahirkan atlet negeri yang mampu mewakili Perak dalam Sukan Malaysia (Sukma) dalam tempoh empat tahun akan datang.
“Peserta paling tua program ini berusia antara 11 hingga 12 tahun dan dalam tempoh empat tahun lagi mereka dijangka berumur 16 atau 17 tahun serta berpotensi mewakili negeri dalam Sukma.
“Jika bakat mereka menyerlah, persatuan boling mungkin akan mengambil mereka ke sekolah sukan atau menyertai kejohanan yang lebih besar.
“Peranan UDA hanyalah sebagai pencetus awal dalam melahirkan bakat baharu sebelum diserahkan kepada pihak lain yang lebih berkeupayaan untuk mengembangkan potensi mereka,” katanya.
Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara mencapai kemuncaknya hari ini dengan pertandingan boling sebagai acara penutup membabitkan dua kategori iaitu kategori tertutup dan terbuka.
Seramai 29 pelajar berpotensi dipilih daripada 120 pelajar dari empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kinta, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kampung Simee, SK Cator Avenue dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Tack Simee.
Bagi kategori tertutup, seramai 29 peserta bersaing secara individu mengikut tahap umur iaitu Tahap 1 bagi peserta berusia tujuh hingga sembilan tahun dan Tahap 2 bagi peserta berusia 10 hingga 12 tahun.
Kategori terbuka pula melibatkan 10 kumpulan sekolah rendah sekitar Ipoh dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat pelajar berumur 10 hingga 12 tahun.