BUKIT MERTAJAM : Tiga lelaki warga Nepal termasuk seorang daripada mereka yang disyaki sebagai suspek utama kes pembunuhan ibu dan anak di Kampung Sekolah, Juru di sini, 18 Oktober lalu disambung reman selama tujuh hari bermula esok.
Perintah sambungan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bagi membantu polis melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan umur antara 30-an hingga 40-an sebelum itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9 pagi dengan diiringi oleh sepasukan anggota polis untuk mendapatkan perintah sambungan reman tersebut.
Minggu lepas, ketiga-tiga mereka telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkat perempuannya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, dijumpai dalam keadaan yang mengerikan selepas dipercayai dibunuh dengan kejam di rumah sewa mereka di kampung terbabit kira-kira pukul 7.30 malam.
Susulan kejadian itu juga, suami mangsa yang berusia 57 tahun bersama seorang kenalan mangsa berusia 45 tahun turut direman bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan pada 25 Oktober.

 
								 
											









