BUKIT MERTAJAM : Pengawal keselamatan yang juga suami kepada mangsa bunuh di Kampung Sekolah, Juru minggu lepas hari ini dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Lelaki berusia 57 tahun itu bersama seorang lagi kenalan mangsa berusia 45 tahun yang direman selama seminggu sebelum ini diberi jaminan sebanyak RM5,000 bersama dua penjamin oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Terdahulu, kedua-dua mereka yang tiba kira-kira pukul 9.40 pagi dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah tersebut pada pukul 11.15 pagi dengan menaiki kenderaan persendirian.
Dalam kejadian Sabtu lepas, mangsa, Sariya Che Hin, 51, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun mati dibunuh dengan kejam apabila terdapat kesan tikaman dan kelar di beberapa anggota badan mereka termasuk tangan dan kepala yang hampir putus.-UTUSAN










