Lelaki bunuh, buang mayat ibu kekal dipenjara 40 tahun

Lelaki bunuh, buang mayat ibu kekal dipenjara 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh ibunya dan membuang jasad wanita itu ke dalam tangki kumbahan, kekal dihukum penjara 40 tahun dan 12 sebatan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara mengekalkan hukuman itu selepas menolak rayuan akhir Mohammad Firdaus Ismail, 37.

Mohammad Firdaus yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik memfailkan rayuan tersebut bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos 2024.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Menurut penghakiman ringkas yang dibacakan oleh Hakim Wan Ahmad Farid, kesalahan dilakukan perayu adalah kejam dan tidak berperikemanusian kerana dia telah membunuh ibu yang melahirkannya.

“Perbuatan itu adalah keji dan cela serta cara kesalahan dilakukannya kejam dengan pelupusan mayat si mati telah menambahkan lagi keseriusan kes.

“Oleh itu, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Terdahulu, peguam bela, Datuk Seri K. Kumaraendran memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan perayu telah insaf.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zain Ibrahim berkata, hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan adalah wajar dan tidak berlebihan.

Jelasnya, kesalahan yang dilakukan itu bertambah lebih kejam apabila Mohammad Firdaus meletakkan mayat ibunya ke dalam tangki septik sebelum ditemukan dalam keadaan berulat, tujuh hari selepas kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan akibat luka hirisan dan tikaman di bahagian badan, kepala, muka dan anggota yang lain.

“Jasad mangsa telah reput kerana ditinggalkan agak lama di dalam tangki septik antara enam ke tujuh hari. Adalah tidak wajar untuk meringankan lagi hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan.

“Tidak dinafikan adik beradik perayu telah memaafkan perayu, tetapi mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan masyarakat perlu mendapat satu mesej yang keras dan jelas atas perbuatan dilakukan perayu,” katanya.

Pada 15 April 2022, Mahkamah Tinggi Butterworth menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohammad Firdaus, yang merupakan penganggur, selepas didapati bersalah membunuh Faridah Mat Hashim, 63, di rumah mereka di Lot 191, Mukim D, Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang antara pukul 6.30 pagi dan 8 malam pada 9 September 2018.

Faridah, yang dilaporkan hilang, kemudian ditemukan mati dalam tangki septik di belakang rumahnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Sept 2018 dengan 12 sebatan rotan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN