Bunuh anak kekasih, pemandu e-hailing dipenjara 17 tahun

Bunuh anak kekasih, pemandu e-hailing dipenjara 17 tahun

B. Jeetandraj meninggalkan kamar Mahkamah Tinggi selepas mendengar hukuman dikenakan ke atasnya atas pertuduhan membunuh tanpa niat, di Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemandu e-hailing terlepas hukuman gantung selepas pertuduhan membunuh anak kekasihnya berumur tiga tahun yang dihadapinya dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi semalam.

Pindaan itu selepas representasi dikemukakan terhadap pertuduhan asal di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diterima oleh pihak pendakwaan.

Hakim Julia Ibrahim kemudiannya menjatuhi hukuman penjara 17 tahun bermula dari tangkap terhadap tertuduh, B. Jeetendraj, 31, yang mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Jeetendraj dituduh melakukan perbuatan menyebabkan kematian ke atas U. Varunesh, tiga tahun, dengan niat hendak menyebabkan sesuatu bencana tubuh yang mungkin menyebabkan kematian dekat sebuah rumah di Pangsapuri Vista Damansara, Kampung Sungai Kayu Ara pada 21 Ogos 2020, lebih kurang pukul 11.45 malam.

Pendakwaan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Maizatul Munirah Abdul Rahman memohon Hakim menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh atas sebab Jeetandraj melakukan tindakan keras ke atas seorang kanak-kanak yang tidak mampu melawan.

Mengikut fakta kes, Jee­tandraj berbuat demikian apabila Varunesh menangis kerana ingin mengikuti ibunya membeli makanan, namun tertuduh cuba menenangkan kanak-kanak lelaki itu, namun mangsa terus menangis dan akhirnya menyebabkan tertuduh hilang sabar lalu bertindak memukul mangsa.

Jeetendraj menampar, memukul bahagian belakang, me­nyepak serta menghentak Varunesh ke lantai serta mencampakkan mangsa ke dinding.

Apabila melihat kanak-kanak itu dalam keadaan lemah, tertuduh kemudian menyimbah air ke muka mangsa, namun mangsa dalam keadaan sukar bernafas, anggota badan tidak bergerak dan dua matanya tertutup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×