‘Bukan ternak ayam tak boleh merotan’ - Sanusi

Bukan ternak ayam sampai tak boleh merotan – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) wajar mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk mengembalikan hukuman rotan kepada guru sebagai kaedah peringatan berkesan dalam pembentukan murid dan pelajar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, hukuman kepada mereka yang melakukan kesalahan di sekolah itu mampu mengelak pelajar atau murid daripada berlanjutan kepada perbuatan negatif yang lebih besar.

Katanya, beliau pernah menyuarakan pandangan tentang isu merotan di sekolah kira-kira lima tahun lalu yang disifatkan adalah perlu dalam proses mendidik anak-anak.

“Sampai tak boleh nak merotan, nak sentuh anak tak boleh nak didik macam mana? Ingat ayam kah, itu bukan proses mendidik itu menternak. Orang kena dididik sebab didikan ini ada ganjaran dan hukuman, tidak selamanya ganjaran.

“Bagi gejala negatif, perbuatan negatif yang akan datang pengaruh buruk, dia kena diberi hukuman. Takkan tak boleh hukum, bukan ada penjara pun di sekolah itu, rotan sikit saja supaya dia beringat,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Deepavali di sini, hari ini.

Sebuah sekolah di Baling, dekat sini menjadi perhatian hari ini setelah kejadian merogol seorang pelajar perempuan oleh empat suspek termasuk tiga pelajar sekolah sama di dalam kelas sejak Mei lalu.

Perbuatan itu terbongkar setelah guru disiplin sekolah terbabit memaklumkan kepada ibu mangsa tentang penularan video tidak bermoral melibatkan anaknya yang berbogel.

Terdahulu, KPM menegaskan pendirian untuk tidak menggunakan rotan sebagai alat mendidik murid, sebaliknya menekankan pendekatan pendidikan berasaskan nilai, adab dan pembangunan karakter.

Tambah Muhammad Sanusi, kerajaan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu menapis sepenuhnya bahan yang tidak bermoral di ruangan maya agar tidak mempengaruhi pemikiran kanak-kanak.

“Saya yakin 100 peratus pengaruh ini bukan ajaran daripada orang tua-tua tetapi daripada pengaruh luar menerusi kebebasan internet yang masuk melalui skrin telefon dan sebagainya.

“Saya harap SKMM boleh kawal dan ambil tindakan segera dengan menurunkan atau menyekat semua bahan yang boleh menimbulkan rangsangan, pengaruh budaya yang songsang dan tak sesuai dengan agama serta budaya masyarakat timur,” katanya.

Katanya, masyarakat belum bersedia untuk menapis sendiri kandungan tidak sepatutnya dan memerlukan kerajaan menggunakan kuasa untuk campur tangan seperti mana China menyekat penggunaan WhatsApp dan Facebook di negara itu.

“Nak berubat selepas berlaku rumit, lebih baik kita halang sebelum ia berlarutan kerana laman lucah umpamanya dengan bebas bersebaran di negara kita.

“Saya yakin kerajaan boleh buat seperti mana mereka menyekat bahan-bahan politik pihak lawan sampaikan seorang pempengaruh yang ada 30 akaun media sosial pun habis semuanya kerajaan sekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN