Budi95 beri manfaat besar kepada komuniti e-hailing - Utusan Malaysia

Budi95 beri manfaat besar kepada komuniti e-hailing

Kerajaan memperkenalkan skim kelayakan berperingkat Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing yang akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemandu e-hailing kini menikmati subsidi bahan api sehingga 600 liter sebulan menerusi pelaksanaan Inisiatif Budi95, menjadikan kumpulan itu antara penerima manfaat terbesar dalam dasar subsidi bersasar kerajaan.

Di bawah skim tersebut, setiap warganegara layak menerima subsidi 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing dan p-hailing diberikan tambahan 300 liter lagi bagi membantu meringankan beban operasi harian mereka yang menggunakan petrol pada kadar tinggi.

Langkah ini sekali gus membuktikan kerajaan tidak memberikan subsidi secara sewenang-wenangnya, sebaliknya disalurkan secara tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk pekerja gig yang menjadi tulang belakang sektor pengangkutan moden negara.

Pelaksanaan Budi95 bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, malah memberi impak besar kepada komuniti pemandu e-hailing yang menjadi nadi utama sistem pengangkutan awam negara.

Melalui inisiatif ini, kerajaan menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bagi warganegara Malaysia, menjadikan Malaysia antara negara yang menawarkan bahan api paling murah di rantau Asia Tenggara.

Sebagai perbandingan, harga petrol di Thailand kini mencecah sekitar THB43.32 seliter (RM5.60), manakala di Singapura, pengguna perlu membayar kira-kira USD2.84 seliter (RM13.80).
Di Indonesia pula, harga petrol dijual sekitar IDR12,890 seliter (RM3.70), jauh lebih tinggi berbanding kadar yang dinikmati rakyat Malaysia di bawah program Budi95.

Perbandingan ini menunjukkan dasar subsidi bersasar yang diperkenalkan kerajaan bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah mengekalkan kestabilan harga domestik meskipun harga minyak mentah global kekal tinggi.

Pakar ekonomi, Dr. Bashir Ahmad berkata, keputusan kerajaan memperluaskan kuota subsidi kepada pemandu e-hailing menunjukkan langkah strategik kerajaan dalam memastikan kumpulan pekerja gig turut menikmati manfaat yang setara.

“Sudah semestinya langkah ini memanfaatkan sektor e-hailing. Ia membolehkan pemandu e-hailing menikmati harga subsidi penuh tanpa perlu bimbang terhadap peningkatan kos bahan api,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, keputusan itu membolehkan pemandu menjimatkan sebahagian besar kos operasi harian, khususnya bagi mereka yang bekerja sepenuh masa dengan purata penggunaan petrol yang tinggi setiap hari.

“Langkah ini bukan sahaja meringankan beban individu, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pengangkutan awam moden dengan memastikan prasarana e-hailing kekal stabil dan mampan,” ujarnya.

Katanya, Budi95 secara tidak langsung berperanan sebagai penjana ekonomi baharu dalam sektor pengangkutan dengan meningkatkan daya saing serta kesejahteraan pekerja gig di Malaysia.

“Dengan subsidi bahan api yang kekal pada kadar rendah, pemandu mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan untuk penyelenggaraan kenderaan, pembaharuan lesen dan aspek keselamatan lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Malaysia E-Hailing & Delivery Organization (MEDO), Masrizal Mahidin atau Jose Rizal, turut menyambut baik pelaksanaan inisiatif Budi95 yang disifatkan sebagai langkah sangat positif dan ditunggu-tunggu oleh komuniti e-hailing di seluruh negara.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan Inisiatif Budi95 merupakan satu langkah yang sangat dialu-alukan oleh komuniti pemandu e-hailing. Ia memberi kelegaan besar khususnya kepada pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan daripada sektor gig sebagai sumber utama rezeki harian,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pendekatan baharu ini banyak memudahkan pemandu dari segi pelaksanaan dan keberkesanan sistem penyampaian subsidi.

“Pertama, pendaftaran digital yang ringkas dan cepat menjimatkan masa pemandu tanpa perlu ke mana-mana agensi kerajaan. Kedua, subsidi disalurkan terus di pam minyak, menjadikan ia lebih efisien dan praktikal. Dan ketiga, penjimatan ketara kos bahan api secara langsung meningkatkan pendapatan bersih pemandu,” jelasnya.

Katanya, keberkesanan sistem Budi95 membuktikan kerajaan memahami realiti kehidupan rakyat yang bekerja dalam ekonomi gig serta komited memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dengan lebih tepat.

“Inisiatif ini menunjukkan kerajaan benar-benar mendengar suara rakyat. Ia membantu komuniti e-hailing bukan sahaja mengurangkan kos, tetapi juga memperkukuh keyakinan mereka terhadap kecekapan dasar ekonomi kerajaan,” katanya.

Masrizal menambah, pelaksanaan Budi95 juga membantu menstabilkan kadar tambang dan memastikan perkhidmatan e-hailing kekal mampu milik untuk pengguna di seluruh negara.

“Apabila kos bahan api terkawal, kadar tambang tidak perlu dinaikkan. Ini memberi manfaat berganda — pemandu dapat menjimatkan kos, manakala pengguna masih menikmati perkhidmatan dengan harga berpatutan,” katanya.

Jelasnya, inisiatif seperti Budi95 perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan dalam memperkukuh ekosistem ekonomi digital dan mobiliti hijau negara.

“Budi95 bukan sekadar program subsidi bahan api, tetapi satu bentuk reformasi sosial yang memastikan keadilan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.

Dengan pelaksanaan berkesan dan penerimaan positif daripada pelbagai pihak, Budi95 kini dilihat sebagai simbol keseimbangan antara tanggungjawab fiskal kerajaan dan kebajikan rakyat, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN