PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sistem berjadual bagi memperkukuh keselamatan dan mutu perkhidmatan bermula 24 hingga 26 Oktober 2025.
Dalam satu kenyataan, BSN memaklumkan beberapa perkhidmatan utama akan tergendala sepanjang tempoh berkenaan, khususnya bermula jam 10.45 malam hingga 6 pagi.
“Antara perkhidmatan yang akan tergendala termasuklah transaksi kad debit dan kad kredit BSN melalui perbankan Internet myBSN dan aplikasi BSN Mobile, mesin pengeluaran automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM), mesin kitar semula tunai yang memerlukan kelulusan pembayaran melalui enam digit nombor PIN.
“Perkhidmatan lain yang turut terjejas adalah semua transaksi kad debit BSN termasuk di ejen bank, transaksi kad kredit BSN melalui DuitNow, perkhidmatan kad dan akaun melalui perbankan Internet myBSN, aplikasi myBSN Mobile dan BSNeBiz,” katanya dalam kenyataan.
Dalam masa yang sama, perkhidmatan yang tergendala bermula jam 12.00 tengah malam hingga 6.30 pagi hanya melibatkan perbankan Internet myBSN, aplikasi myBSN Mobile dan BSNeBiz melalui DuitNow, JomPAY dan pertukaran proses kewangan (FPX).
Namun, BSN menegaskan transaksi kad kredit di mesin pembayaran di kedai atau premis tidak terjejas dan berfungsi seperti biasa.
“Kami faham kepentingan akses tanpa gangguan. Untuk kelancaran urusan anda, sila rancang dan selesaikan transaksi penting lebih awal sebelum tempoh penyelenggaraan bermula,” katanya. – UTUSAN










