SHAH ALAM: Seramai 102 orang jutawan dilahirkan melalui cabutan dalam program Skim Simpanan Premium (SSP) oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi cabutan pertamanya pada 2013.
Skim tersebut yang diperkenalkan sejak 1978 itu akan membuat empat lagi cabutan bagi bulan September hingga Disember tahun ini.
Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, SSP merupakan produk BSN yang mendapat sambutan tertinggi dalam kalangan penyimpan dan melahirkan ramai jutawan termasuk dalam kalangan usahawan.
“Kita mendapat sambutan baik bagi program Sijil Simpanan Premium, kita mendapat sokongan yang bagus. Itu adalah inisiatif kita. Jadi, kita sudah hasilkan 102 orang jutawan. Setiap bulan ada jutawan, itu istimewa kita punya perkhidmatan,” katanya dalam sidang akhbar dalam lawatan ke Cawangan Utama Selangor sempena 50 tahun BSN, hari ini.
Malah, katanya tawaran SSP itu adalah salah satu usaha bagi menggalakkan rakyat di negara ini mengamalkan budaya menabung atau menyimpan duit mereka di bank khususnya BSN bagi menjamin keselamatan simpanan mereka.
Jelasnya, BSN kini mempunyai dana simpanan terkumpul melebihi RM20 bilion menerusi tabungan daripada kira-kira 15 juta pemegang akaun di seluruh negara.
Dalam pada itu, Awang Adek memaklumkan, BSN turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain bagi menggalakkan simpanan termasuklah tawaran produk utama, SSP serta Akaun Simpanan BSN Giro.
“Jun 2024, BSN SSP mempunyai lebih kurang 5 juta pendeposit dengan jumlah simpanan bernilai lebih dari RM5 bilion dan lebih kurang 9 juta pelanggan Akaun Simpanan BSN Giro.
“Seterusnya kita mendampingi pelajar-pelajar dan penyimpan muda supaya mereka tahu boleh buka akaun simpanan. Kita ada di seluruh negara, itu kelebihan kita. Kedua, kita tumpukan dengan perbankan dalam talian atau internet banking,” ujarnya. – UTUSAN











