JENAMA francais Polis Evo tidak hanya menawarkan pengalaman sinematik, kerencaman plot tetapi juga produksi tempatan yang mendaki kematangan dalam seni pembikinan filem aksi.
Sejak trilogi filem aksi kepolisian ini diperkenalkan 10 tahun lalu, ia diadun di tangan empat pengarah berbeza Ghaz Abu Bakar (2015), Joel Soh dan Andre Chew (2018), Syafiq Yusof (2023). Menariknya, setiap kali filem ini menemui penonton, sambutannya kekal luar biasa dan diingati sebagai naskhah yang meninggalkan kesan signifikan kepada penonton.
Mengimbau perjalanan sebagai pelakon watak utama, Shaheizy Sam, tidak menafikan perjalanan ‘memakai’ karakter Inspektor Khai turut mengubah keperibadiannya.
Paling menarik bagaimana naskhah ini memberikan persahabatan sangat menyentuh hati bersama rakan pelakon, Zizan Razak sehingga masing-masing dilihat mengalirkan air mata dan berpelukan ketika mengimbau kenangan semasa majlis sambutan 10 tahun Polis Evo, baru-baru ini.
“Jika bekerja, saya mahu orang sekeliling berasa selesa. Satu perkara yang boleh saya kongsikan ialah kemesraan ini kita tak boleh bohong. Benda ini akan kelihatan depan kamera. Penonton boleh nampak semua itu.
“Tenaga yang saya dan Zizan beri dalam Polis Evo memang nyata. Kami gelak-gelak di belakang kamera dan aura itulah yang kami bawa dan kongsikan buat penonton. Benda seperti ini kita tak boleh boleh tipu.
“Ingat lagi saya cakap kepada Zizan ‘bro, antara kita tidak boleh ada ego. Kita sama-sama nak cari makan’. Kami berdua mahu sama-sama berjaya. Benda ini bukan kerja seorang pelakon, tapi sama-sama,” katanya.
Tidak hanya mereka berdua, Sam juga tidak menafikan sikap kru belakang tabir yang sentiasa bersemangat juga membantu kejayaan francais filem ini. Polis Evo 1 mencatat kutipan RM17.8 juta, Polis Evo 2 menggondol RM22.45 juta kemudian ditutup dengan Polis Evo 3 iaitu RM54 juta menjadikannya antara kelompok filem tempatan dengan kutipan tertinggi.
“Bila lihat perjalanan Polis Evo saya tak pernah jangka filem ini akan dapat sambutan sebegini besar. Filem ini berbeza, sebab kadang bajet besar jika bukan rezeki sambutan bagus, tidak jalan juga.
“Tapi saya ingat semua orang di set sangat bersemangat. Perkara itu membuatkan kita tahu filem ini boleh pergi jauh. Setiap department walau tidak tahu berapa gaji mereka, tetap buat bersungguh-sungguh. Seolah-olah mereka tahu filem ini mereka kena bawa ke suatu tahap, Alhamdulillah kita dapat ‘tempat’ itu.
“Dalam pada itu, saya juga memerhati trend pasaran perfileman negara. Kemudian saya sedar penonton kita suka humor, bahagian itu saya serahkan kepada Zizan. Saya fokus karakter Khai iaitu pegawai polis yang boleh dipercayai. Itu sahaja tugas saya, selebihnya tugas Zizan. Gandingan kami berjaya sepanjang 10 tahun ini,” katanya.
Namun kejayaan itu tidak datang tanpa pengorbanan. Pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Filem Antarabangsa 2013 mengakui pengalaman paling mencabar ialah ketika penggambaran Polis Evo 2 ditangguhkan selama 11 bulan.
“Saya pula tak reti nak buat dua atau tiga filem pada masa sama. Jadi waktu itu saya bina badan di gim dan jalani kelas latihan menembak.
“Sampai saya boleh sertai pertandingan menembak peringkat Asia dua kali. Kiranya pelajaran dan aktiviti yang saya buat memberikan saya hobi yang serius. Pertandingan itu pula lebih menekankan ketangkasan, siapa cepat dan siapa yang dapat tembak target yang tepat.
“Tapi sekarang mereka sudah ketatkan syarat kelayakan pertandingan jadi semakin sukar untuk sertai pertandingan itu. Kemahiran itu juga banyak membantu saya di skrin,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Polis Evo terus meninggalkan legasinya dengan sebuah drama bersiri ‘spin-off’ daripada watak Mat Yam lakonan Amerul Affendi bertajuk ‘Evo, Mat Yam’ yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.-UTUSAN