'BN jalan terus, tidak tergugat jika MIC keluar'

‘BN jalan terus, tidak tergugat jika MIC keluar’

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak terjejas sekiranya MIC benar-benar mengambil keputusan untuk keluar daripada gabungan itu bulan depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, BN telah melalui pelbagai episod selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila beberapa parti komponen serta individu meninggalkan gabungan itu, namun BN tetap mampu bertahan dan terus bergerak ke hadapan.

“BN memang tidak boleh mengelak untuk ditinggalkan. Banyak parti tinggalkan BN selepas PRU14. Bahkan ada yang meninggalkan UMNO secara berkumpulan dan individu. Itu tidak membunuh BN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bekas Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendedahkan bahawa MIC dijangka keluar BN bulan depan.

Mohd. Puad berkata, setakat ini perkara tersebut masih tidak dinafikan oleh kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Katanya, tindakan MIC meninggalkan BN seharusnya tidak dilihat sebagai tamparan kepada gabungan itu, sebaliknya sebagai ruang untuk BN memperkukuh semula landasan perjuangannya selepas 2018.

“Ini masa terbaik membina semula BN pasca PRU14. BN masih mempunyai friends of BN yang mewakili pelbagai kaum termasuk Makkal Sakti, MIUP, PPP, Parti Punjabi dan KIMMA.

“MIC sebelum ini membantah kemasukan parti-parti tersebut sebagai ahli penuh BN, sedangkan mereka turut mewakili suara masyarakat India,” katanya.

Beliau berkata, MIC sepatutnya menilai semula keupayaannya sendiri dalam menarik sokongan masyarakat India terhadap BN sebelum mempersoalkan kedudukan parti lain dalam gabungan itu.

“MIC sendiri gagal menarik sokongan orang India kepada BN. Maka biarlah MIC pergi,” katanya.

Puad turut mempersoalkan kemampuan MIC untuk bergerak secara solo atau bergantung kepada gabungan lain seperti Perikatan Nasional (PN).
“Tidak mungkin MIC bergerak solo kerana mereka masih memerlukan sokongan orang Melayu. Bolehkah MIC mendapat sokongan Melayu melalui PN? Jangan nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. BN jalan terus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN