KUALA LUMPUR: Kejadian rogol melibatkan pelajar sekolah di Melaka pada awal bulan ini sepatutnya membuka mata semua pihak untuk menilai semula aspek keselamatan serta bimbingan moral di sekolah.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat bagi anak-anak, bukan lokasi yang menimbulkan ketakutan atau kebimbangan kepada ibu bapa.
Menurutnya, semua pihak perlu menjalankan peranan mereka dalam membentuk generasi hadapan dan persekitaran sihat.
“Apa yang membimbangkan adalah pelajar yang melakukan kesalahan tersebut adalah generasi yang akan memimpin kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan larian Kasih Fun Run Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.
Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelasnya sendiri dan kejadian yang turut dirakam serta disaksikan dua pelajar lain.
Kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah berhubung penyebaran video tidak senonoh membabitkan anak sulungnya sebelum membawa pelajar Tingkatan Tiga itu membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah.
Nancy berkata, pihaknya terus memperkukuh program kesedaran dan keibubapaan agar nilai moral dan tanggungjawab sosial dapat diterapkan sejak di peringkat awal persekolahan.
“Kita ada program advokasi dan pendidikan seks bersama Kementerian Pendidikan di bawah Majlis Sosial Negara.
“Saya akui pengetahuan pendidikan seks masih tidak mencukupi, sebab itu kita mahu tingkatkan usaha ini melalui program Program Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mangsa sedang mendapatkan rawatan dan sokongan di hospital, manakala pasukan kaunselor turut digerakkan untuk membantu seluruh warga sekolah.
“Kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan anak-anak kerana sekolah ini adalah antara sekolah terbaik di Melaka,” katanya selepas sesi taklimat di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka berhubung kes rogol itu.
Turut hadir, dalam sesi yang diadakan secara tertutup itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Mohd. Azam Ahmad dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Katanya, empat pelajar terbabit juga akan dibenarkan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula 3 November ini.-UTUSAN










