Biar proses lantik PM berlaku semulajadi - Pas

Biar proses lantik PM berlaku semulajadi – Pas

pru15
AHMAD AMZAD HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Calon Perdana Menteri yang diketengahkan Pas perlu melalui proses yang teliti dan dipersetujui bersama rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, proses itu seperti mana pemilihan calon pilihan raya yang perlu melalui tapisan ketat oleh Majlis Syura Ulama Pas.

Kata beliau, Pas sangat menghormati peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan Perdana Menteri.

“Biarlah proses itu berlaku secara semula jadi dan mengikut lunas undang-undang. Jika ada keperluan untuk Pas mencadangkan calon, kita bertindak sewajarnya dengan mengambil kira pandangan semua, termasuk rakan-rakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan parti-parti lain yang bersama dalam perjuangan demi rakyat serta negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, pemilihan calon Perdana Menteri dalam kalangan kepemimpinan Pas tidak pernah menjadi tajuk perbincangan rasmi di mana-mana peringkat parti termasuk muktamar, mesyuarat Pusat mahupun Mesyuarat Harian Pas.

Katanya, fokus utama Pas ketika ini adalah memastikan kemenangan PN dalam pilihan raya umum akan datang sebelum sebarang perbincangan tentang calon Perdana Menteri dapat dibangkitkan.

“Setakat ini, perkara itu tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam mana-mana mesyuarat parti. Keutamaan Pas sekarang adalah memastikan kemenangan PN dalam pilihan raya. Kalau menang, barulah kita boleh bercakap soal siapa bakal menjadi Perdana Menteri. Kalau belum menang, itu hanya percakapan kosong yang tidak membawa nilai,” katanya.

Mengulas kriteria pemimpin yang layak diketengahkan, Ahmad Amzad berkata, Pas menjadikan ciri-ciri kepemimpinan Islam sebagai asas utama termasuk pegangan kukuh terhadap Islam, kewarakan serta kesediaan untuk berkorban demi agama, rakyat dan negara.

Beliau berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sering menekankan contoh kepemimpinan unggul yang pernah ditunjukkan oleh Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang  kerap mengupas kisah kepemimpinan Khulafaur Rasyidin dalam Kuliah Duha mingguannya serta melalui buku yang diterbitkan beliau sendiri.

“Empat khalifah iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang mempunyai latar belakang dan pendekatan yang berbeza. Ada yang lemah lembut, ada yang tegas, ada yang ahli dalam perniagaan, ada yang pakar dalam pentadbiran dan ada juga yang terkenal sebagai panglima perang. Tetapi mereka semua berkongsi sifat sama iaitu warak, teguh kepada Islam dan sanggup berkorban,” katanya.

Katanya lagi, itulah ciri-ciri yang dimaksudkan oleh kepimpinan tertinggi Pas dalam menilai keperibadian pemimpin masa depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN