KUALA LUMPUR: Dua ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti itu semalam, mendakwa kes mereka tidak dikendalikan dengan prosedur yang betul.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga ahli Parlimen Machang berkata, selain itu, terdapat dua anggota lembaga itu mempunyai konflik kepentingan dengan kepemimpinan parti.
Beliau berkata, pengadu juga tidak hadir sewaktu dipanggil ke prosiding Lembaga Disiplin minggu lalu sedangkan itu perkara yang penting.
“Dua ahli Lembaga Disiplin dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dan profesional dengan kepemimpinan tertinggi parti.
“Adakah ini keadilan yang sebenar? Kami rasa ada sesuatu kurang baik sedang berlaku dalam parti kami ini.
“Saya dahulu pernah lalui benda sama dalam Dewan Rakyat selama enam bulan. Perkara yang sama juga sedang berlaku dalam Bersatu.
“Malah, proses keadilan itu tidak berjalan sama sekali buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Parlimen, di sini semalam.
Semalam, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan keahlian Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai ahli parti berkuat kuasa serta-merta sementara, Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama satu penggal.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, pertuduhan yang dihadapi oleh dirinya sangat berbeza dengan Wan Saiful dan beliau memilih untuk tidak menceritakan perkara itu kepada umum.
“Sebab ini adalah isu dalaman. Benda ini tidak diuar-uarkan pun dalam media sosial atau media arus perdana. Namun, ia menjadi besar apabila melibatkan individu berkepentingan dalam parti yang mahu tindakan diambil.
“Sebenarnya sudah lama, cuma akhir-akhir ini agaknya mereka mungkin mahukan benda ini diselesaikan. Jadi, sebab apa yang berlaku pada kami semalam adalah sesuatu yang amat mengecewakan,” katanya. – UTUSAN










