KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) memecat lima pemimpin termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkuat kuasa serta merta.
Selain itu, Lembaga Disiplin Bersatu turut menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal.
Lembaga Disiplin Bersatu berkata, selain Wan Saiful, turut dipecat Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.
Katanya, tindakan tersebut dibuat ekoran pelanggaran Perlembagaan dan Tatakelakuan ahli parti.
“Penggantungan itu dibuat berikutan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu, yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Semua pemimpin itu dipanggil pada 8 Oktober lalu oleh Lembaga Disiplin parti ekoran beberapa dakwaan termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan Ketua Bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sementara itu, Wan Saiful yang juga Ketua Bahagian Bersatu Bangi mengingatkan kepimpinan Bersatu tidak menjadikan parti itu sebagai alat kepentingan peribadi dan keluarga masing-masing.
Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu berkata, Bersatu adalah parti yang dibina bersama dengan ahli-ahli di peringkat akar umbi yang telah berkorban untuk memperkukuh dan membina parti dari awal.
“Parti ini bukan milik individu dan kami akan terus berusaha melalui proses dalaman dengan penuh komitmen.
“Saya ingin menekankan Bersatu dan Perikanan Nasional (PN) bukan milik mana-mana individu apatah lagi untuk digunakan atau ditunggang oleh sesiapa sahaja untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, semalam.
Wan Saiful berkata, beliau dan Wan Ahmad Fayhsal akan mempertimbang untuk mengemukakan rayuan berhubung hukuman pemecatan dan penggantungan keahlian merka.
Katanya, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Bahagian lain yang turut menerima surat pemecatan keahlian tersebut.
Beliau turut memberitahu kecewa dengan tindakan Lembaga Disiplin parti itu kerana ia menyebabkan bilangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipilih oleh parti akan berkurangan.
Keadaan itu katanya membuka ruang bagi MPT yang lebih ramai yang dilantik untuk mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat yang mungkin bertujuan untuk mengekalkan Pengerusi Lembaga Rayuan atau menambah bilangan ahli dalam Lembaga Rayuan.
“Ini semua adalah perkara yang boleh dijangka. Saya jangka mesyuarat MPT akan dipanggil dalam masa terdekat, sementara kami mempunyai tempoh 14 hari untuk membuat rayuan. Buat masa ini, kami tidak boleh hadir dalam mesyuarat tersebut,” katanya.
Wan Saiful memaklumkan, beliau menerima surat pemecatan itu menerusi kiriman WhatsApp pada pukul 10.45 malam, kelmarin.
Katanya, apa jua situasi yang berlaku, beliau dan Wan Ahmad Fayhsal masih kekal setia bersama Bersatu.
Jelasnya, Bersatu adalah parti yang dibina bersama dengan ahli-ahli di peringkat akar umbi, yang telah berkorban untuk memperkukuhkan dan membina parti dari awal. – UTUSAN










