PETALING JAYA: “Air selalu diguna untuk tujuan sihir.”
Demikian pesanan yang dikongsi pengacara terkenal, Fedtri Yahya mengenai isu sihir yang kini hangat diperkatakan.
Menerusi video yang dimuat naik dalam platform Thread itu, Fedtri menasihatkan agar minuman yang ditinggalkan di satu-satu tempat tidak diambil dan diminum semula bagi menghindari perbuatan khianat.
“Kalau kita tertinggal air di tempat yang wujud persaingan seperti pejabat atau gelanggang, tidak perlulah kita berpatah balik untuk ambil air berkenaan.
“Ini disebabkan mungkin orang lain letak (dalam air itu) benda membahayakan dan memabukkan atau lebih dahsyat lagi, unsur-unsur mistik.
“Air ini selalu digunakan untuk tujuan sihir. Berhati-hati, doa, tawakal dan mantapkan iman untuk elakkan sihir,” kongsinya.
Video tersebut dimuat naik hos program Malaysia Hari Ini itu ketika isu sihir dalam pertandingan nyanyian sedang hangat diperkatakan sekarang ini.
Ia susulan insiden menimpa anak penyanyi, Siti Saerah, Ahmad Dayyan yang rebah sebelum membuat persembahan pada konsert Grand Finale Talk To My Manager Ahad lepas.
Susulan itu, pelbagai spekulasi dikaitkan dengan insiden menimpa Ahmad itu termasuk dakwaan berlaku perbuatan sihir untuk menggagalkan persembahan Ahmad di konsert berkenaan.