36 Kluster Influenza direkod di Pulau Pinang

36 Kluster Influenza direkod di Pulau Pinang

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jumlah kluster akibat jangkitan influenza di Pulau Pinang meningkat kepada keseluruhan 36 kluster sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 41/2025.

Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, data daripada Jabatan Kesihatan Negeri menunjukkan sembilan kluster dilaporkan antara ME1 hingga ME39, 10 kluster pada ME40 (28 September hingga 4 Oktober), manakala 17 kluster baharu dicatat pada ME41 (5 hingga 11 Oktober).

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan kluster influenza di Pulau Pinang ialah 36. Bagaimanapun, tiada kematian atau mutasi baharu virus itu dikesan setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Khamis lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan, sebanyak 97 kluster influenza melibatkan influenza A dan B direkodkan di seluruh negara pada ME 40/2025, meningkat berbanding hanya 14 kluster pada ME 39/2025.

Pulau Pinang disenaraikan antara lima negeri tertinggi merekodkan peningkatan dengan 10 kluster manakala Selangor paling tinggi 43 kluster, selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Johor (9) dan Kedah (5).

Kon Yeow berkata, walaupun negeri ini tidak mencatat peningkatan mendadak dari segi jumlah kes individu, trend kluster menunjukkan penularan influenza masih berlaku di beberapa lokasi terutama institusi pendidikan.

“Setakat maklumat yang diterima, jumlah kes kumulatif di Pulau Pinang ialah 418 kes sehingga minggu lalu, berdasarkan data Minggu Epidemiologi ke-40,” katanya.

Beliau berkata, statistik kes influenza lazimnya dikemas kini secara mingguan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengikut tempoh minggu epidemiologi, bukan harian.

“Data terkini menunjukkan negeri ini masih dalam kawalan dan pihak berkuasa kesihatan sentiasa memantau perkembangan di semua daerah,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri memberi jaminan kerjasama penuh kepada KKM dalam memastikan langkah pencegahan dan pengawalan penyakit itu terus dilaksanakan dengan berkesan.

“Kerajaan negeri juga menyeru pihak sekolah dan ibu bapa supaya lebih peka terhadap simptom influenza serta segera mendapatkan rawatan sekiranya pelajar menunjukkan tanda-tanda jangkitan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN