Kastawi sudah lebih 10 kali mengundi

Kastawi sudah lebih 10 kali mengundi

KASTAWI selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) LTKP Sungai Sayong, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Bagi Kastawi Isa, 103, usianya yang mencecah lebih satu abad bukan penghalang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, hari ini.

Peneroka generasi pertama Felda Sungai Sayong itu mengakui cukup teruja kerana masih diberi kesempatan keluar mengundi pada usia sebegitu.

Malah, dia sudah mengundi lebih 10 kali itu juga sudah bersiap sedia seawal pagi untuk memastikan diri sampai lebih awal berbanding rakanmya yang lain.

“Saya bangga dapat mengundi. Dari awal pagi dah bersiap siap sebab memang tak sabar nak keluar mengundi kali ini.

“Selain itu, semua urusan mengundi mudah. Petugas juga banyak membantu. Saya bersyukur kerana masih sihat dan dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi lagi untuk PRN kali ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kastawi ketika ditanya mengenai rahsia kekal sihat sehingga mencecah usia 103 tahun berkata, dia hanya mengamalkan pemakanan biasa tanpa sebarang pantang atau pengambilan makanan tambahan.

Dia juga tidak mempunyai sebarang masalah penyakit kronik seperti kencing manis atau jantung walaupun dimamah usia.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Sungai Sayong, Shaiful Bahri Sidek, 60, berkata pihaknya mengambil inisiatif mencari kenderaan bagi memastikan Kastawi dapat hadir mengundi.

Katanya, kehadiran Kastawi bukan sekadar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi malah menjadi inspirasi kepada masyarakat, khususnya golongan muda.

“Hari ini kita bertuah kerana dapat bersama-sama pengundi tertua Felda di Johor. Saya yakin kehadiran beliau memberi semangat kepada pengundi lain untuk turut keluar mengundi.

“Beliau adalah ikon kepada penduduk di sini. Apabila pada usia 103 tahun pun masih sanggup hadir mengundi, saya harap ia menjadi teladan dan pendorong kepada anak-anak muda supaya tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN