PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berharap kerajaan dapat meningkatkan perbelanjaan kesihatan awam daripada 2.4 peratus kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK), menerusi Belanjawan 2026.
Presiden MMA, Dr. Thirunavukarasu berkata, bagi merealisasikan cadangan itu, pihaknya mencadangkan agar subsidi gula dimansuhkan dan cukai gula diperluas kepada minuman bergula, dengan hasilnya diperuntukkan khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja menggalakkan pengurangan penggunaan yang tidak sihat, malah menyalurkan sumber terus kepada pengukuhan sistem kesihatan.
“Selain itu, kami juga berharap bayaran pendaftaran di klinik kesihatan awam wajar dinaikkan daripada RM1 kepada RM5 di klinik penjagaan primer dan daripada RM5 kepada RM25 di klinik pakar pesakit luar.
“Hasil kutipan digunakan untuk penyelenggaraan dan pembaikan fasiliti, sambil mengekalkan pengecualian bayaran untuk golongan B40, demi memastikan akses kepada rawatan kesihatan kekal menyeluruh.Penjagaan kesihatan harus dilihat sebagai pelaburan untuk masa depan Malaysia, bukan sekadar perbelanjaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, keutamaan paling mendesak bagi Belanjawan 2026 ialah menangani kekurangan tenaga kerja dan isu pengekalan dalam sistem kesihatan awam.
Jelasnya, tanpa tenaga kerja yang kukuh, polisi terbaik sekalipun tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“MMA menyambut baik komitmen kerajaan untuk memansuhkan sistem doktor kontrak dan mendesak agar semua doktor kontrak yang masih berkhidmat diserap ke jawatan tetap.
“Sokongan yang lebih besar juga perlu diberikan kepada latihan pascasiswazah melalui laluan sarjana dan laluan selari bagi menggalakkan pengkhususan.
“Elaun oncall doktor yang kini hanya RM9.16 sejam perlu dinaikkan kepada RM25 sejam, satu penyesuaian bermakna yang mencerminkan beban kerja, tanggungjawab dan pengorbanan mereka,” katanya.
Beliau berkata, Belanjawan 2026 mesti segera menangani jurang dan ketidakseimbangan pakar-pakar perubatan terus meninggalkan sistem awam dalam jumlah yang membimbangkan.
Oleh itu, pihaknya mencadangkan penubuhan papan pemuka (dashboard) kebangsaan untuk memetakan tenaga kerja dan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.
Katanya, ini bagi memastikan ketelusan dan agihan sumber secara saksama.
“Dashboard ini perlu menetapkan penanda aras yang jelas berdasarkan norma penjagaan kesihatan, termasuk nisbah staf kesihatan, katil hospital, peralatan dan fasiliti mengikut jumlah pesakit dalam setiap jabatan.
“Walaupun isu imbuhan, laluan kerjaya dan beban kerja kekal sebagai punca utama penghijrahan, dashboard ini akan terus menangani beban kerja melalui perancangan dan pengagihan yang lebih baik. Kami menggesa agar pelaksanaan dashboard ini tidak lagi ditangguhkan,” katanya. – UTUSAN










