Belanjawan 2026: Persediaan masa hadapan, perlindungan untuk rakyat - Utusan Malaysia

Belanjawan 2026: Persediaan masa hadapan, perlindungan untuk rakyat

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 dirangka berteraskan kepada persediaan melindungi isi rumah daripada tekanan semasa, sambil meletakkan asas kukuh bagi pertumbuhan masa hadapan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, belanjawan kali ini memberi tumpuan khusus kepada realiti harian rakyat daripada keluarga yang berusaha menyeimbangkan bajet bulanan, hinggalah kepada anak muda yang mencari pekerjaan pertama.

“Ketidaktentuan bukan sekadar konsep, namun ia adalah realiti yang dialami. Justeru, Belanjawan 2026 digubal dengan mereka sebagai tumpuan utama.

“Antara langkah utama yang diketengahkan ialah Budi95, program subsidi RON95 bersasar yang baharu.

“Inisiatif ini memastikan harga bahan api kekal mampu milik bagi rakyat Malaysia, di samping menutup ketirisan subsidi dan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4.0 bilion setahun.

“Penjimatan itu, akan disalurkan semula kepada sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur memberikan kelegaan untuk keluarga dan kekuatan untuk masa depan negara,” katanya dalam ucapan pada penutup Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2025.

Menurutnya, Belanjawan 2026 turut menumpukan kepada pengukuhan perlindungan sosial dan peningkatan daya tahan isi rumah, di samping pelaburan jangka panjang dalam bidang strategik termasuk semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan, syarikat pemula (startup) dan industri masa depan.

“Langkah-langkah ini selaras dengan visi kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang berdaya saing di peringkat global.

“Sementara itu, hala tuju pembangunan ekonomi negara juga diperjelas melalui pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Strategi Semikonduktor Nasional (SSN), serta agenda Peralihan tenaga dan pendigitalan.

“Matlamat utama strategi ini adalah jelas iaitu menjamin pekerjaan yang lebih baik, perniagaan yang lebih kukuh, dan peluang yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Menyentuh aspek dari sudut fiskal, beliau berkata, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada KDNK tahun ini.

“Ini dengan mengurangkan kebergantungan kepada hutang serta memperkukuh ketelusan melalui Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 dan undang-undang baharu berkaitan tadbir urus.

“Langkah ini dilihat penting bagi memastikan disiplin fiskal yang mampan serta kepercayaan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.

“Selain itu, Belanjawan 2026 juga menandakan permulaan kepada Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang akan menggariskan dasar pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Jika Belanjawan 2026 menumpukan kepada persediaan, maka RMK13 pula menjadi panduan hala tuju, membimbing negara melalui dekad transformasi yang penting,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN