PETALING JAYA: Belanjawan 2026 untuk memastikan reformasi institusi dan tadbir urus negara terus menjadi teras kepada pembangunan Malaysia yang mampan, berdaya tahan dan makmur.
Selaras dengan tekad Kerajaan Madani untuk memastikan akses kepada keadilan untuk semua, beberapa inisiatif penting telah diperuntukkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Antaranya termasuk penubuhan Mahkamah Bergerak Khas Kanak-Kanak, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta kenaikan gaji hakim sehingga 30 peratus demi menjaga integriti dan kebebasan badan kehakiman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemerkasaan institusi undang-undang bukan hanya tertumpu kepada usaha memperkukuh keadilan sosial, namun ia juga merupakan asas penting kepada keyakinan pelabur dan kestabilan ekonomi.
Katanya, belanjawan ini bukan sekadar kerajaan berbelanja dengan bijak untuk rakyat, tetapi pada masa sama memastikan undang-undang dan institusi terus dipercayai dan dihormati.
“Belanjawan Madani 2026 membuktikan bahawa reformasi undang-undang bukan bersifat elitis, tetapi menyentuh kehidupan setiap rakyat daripada perlindungan kanak-kanak sehingga aspek pendigitalan keadilan.
“Ini bertepatan dengan falsafah Malaysia Madani yang berteraskan nilai amanah, daya cipta, hormat, ihsan dan kesejahteraan sebagai panduan dalam pelaksanaan dasar undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan.
Azalina berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh integriti, akauntabiliti bagi memastikan hasilnya dapat memberi impak positif kepada semua demi kesejahteraan rakyat dan negara.
“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan akan memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan sebaiknya bagi mencapai matlamat organisasi,” katanya. – UTUSAN










