GEORGE TOWN : Tokoh pendidikan yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dilaporkan cedera selepas dipercayai menjadi mangsa samun, berhampiran rumah beliau di Taman Pekaka di sini, pagi tadi.
Menurut laman Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM), Dzulkifli yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) disamun semasa dalam perjalanan pulang dari menunaikan solat Subuh dan terpaksa menerima 15 jahitan di kepala selepas dihentak dengan pistol oleh suspek.
“Alhamdulillah. Beliau kini telah menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh di Hospital Pulau Pinang dan disahkan sihat oleh doktor di sana.
“Laporan polis juga telah dibuat berhubung kes tersebut. Untuk makluman, dua orang anak beliau kini tinggal bersama di Pulau Pinang. Jadi, mereka tidak tinggal berdua sahaja, Insya-Allah jangan risau. Kami akan memaklumkan perkembangan lanjut setelah siasatan polis selesai bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” kata hantaran tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Katanya, kejadian itu berlaku di Taman Pekaka ketika mangsa sedang perjalanan balik dari solat Subuh, kira-kira pukul 6.45 pagi dan laporan polis pula diterima pada pukul 7.01 pagi.
Beliau berkata, susulan kejadian tersebut, seorang suspek warga emas berusia 75 tahun telah ditangkap dan permohonan reman terhadap suspek tersebut akan dibuat esok pagi.
“Ketika ini, siasatan sedang berjalan untuk mengenal pasti motif kejadian dan senjata yang digunakan dalam kejadian ini,” ujar beliau.-UTUSAN