Bekas guru tidak mengaku amang seksual fizikal pelajar - Utusan Malaysia

Bekas guru tidak mengaku amang seksual fizikal pelajar

MUHAMAD Najmuddin Jamal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 12 tahun di Chemor tahun lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang bekas guru agama sebuah sekolah rendah di Chemor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki berusia 12 tahun, Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Najmuddin Jamal, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa dengan cara menyentuh kemaluan kanak-kanak itu di sebuah sekolah rendah di Hulu Chepor, Chemor pada waktu siang, sekitar bulan Ogos 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Peguam bela, Khairul Anuar Musa yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum atas alasan lelaki itu yang bekerja sebagai pegawai pemaju masyarakat di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sejak Februari lalu meraih pendapatan bulanan sebanyak RM1,100.

Katanya, dengan pendapatan itu, tertuduh menanggung ibu bapa yang mempunyai sakit darah tinggi, kolestrol dan kencing manis selain adik bongsu.

“Tertuduh masih belum berkahwin dan keluarganya juga bukan orang senang. Mohon jumlah jaminan minimum dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

“Tertuduh juga tiada masalah dengan syarat tambahan kerana lelaki itu tidak bekerja di premis yang sama dengan mangsa, malah tempat kerjanya juga jauh,” katanya.

Hakim Jean Sharmila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan iaitu tidak mengganggu mangsa dan lapor diri di balai polis terdekat sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 26 November depan untuk tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN