PADANG BESAR: Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai 2025 yang diluluskan kerajaan negeri sebelum ini dapat memperkasakan usaha bagi mengawal pembiakan spesies asing invasif (IAS) yang mengancam ekosistem perikanan tempatan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, melalui kaedah baharu itu, terdapat peruntukan yang melarang nelayan daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat menjejaskan ekosistem seperti bubu naga dan pukat rawa sorong.
Katanya, selain itu, kaedah itu juga mengkehendaki orang ramai untuk mendapatkan kebenaran daripada Pengarah Perikanan negeri terlebih dahulu sekiranya ingin melepaskan 40 spesies ikan larangan ke perairan umum antaranya bagi tujuan upacara keagamaan.
“Kaedah yang diluluskan juga adalah usaha bagi melesenkan nelayan-nelayan darat dan jika mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan di bawah peruntukan ditetapkan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM20,000,” katanya selepas Program Pelepasan Anak Benih Udang Galah di Santuari Ikan Ayer Tawar Timah Tasoh, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai program berkenaan, Rahimi berkata, sebanyak 200,000 anak benih udang galah bernilai RM50,000 telah dilepaskan ke tasik itu sebagai usaha bagi mengimbangi populasi spesies hidupan di sana.
Menurut beliau, benih udang galah tersebut juga dapat mencapai tempoh matang dalam tempoh tiga ke empat bulan dan boleh dipasarkan untuk jualan.
“Dari jumlah 200,000 anak benih udang galah yang dilepaskan itu, anggaran dalam 30 hingga 40 peratus daripadanya dapat bertahan sehingga tempoh matang.
“Disebabkan itu, kita sentiasa berusaha untuk mengawal ikan-ikan pemangsa di tasik ini supaya ia tidak menjadi ancaman kepada benih-benih baharu yang dilepaskan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Rahimi berkata, usaha yang dilaksanakan menerusi pelepasan benih tersebut juga adalah bagi memastikan hidupan tempatan di tasik itu dapat membiak melebihi jumlah spesies asing.
Tambahnya, kerajaan negeri juga akan melihat sebarang sebarang bentuk keperluan yang dapat dilaksanakan selepas ini dalam usaha bagi memastikan kelangsungan nelayan darat di tasik tersebut.-UTUSAN










