Bawah 13 tahun bakal disekat miliki akaun media sosial - Utusan Malaysia

Bawah 13 tahun bakal disekat miliki akaun media sosial

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal mewajibkan semua pengendali media sosial melaksanakan pengesahan identiti eKYC (electronic – Know Your Customer) bagi memastikan pengguna bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun di platform berkenaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan untuk melindungi kanak-kanak di alam maya dengan memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform media sosial dapat dikuatkuasakan dengan lebih berkesan.

“Apabila saya bertemu wakil platform media sosial bulan lalu, saya nyatakan dengan jelas bahawa Malaysia akan mewajibkan pengesahan identiti, khususnya untuk menghalang kanak-kanak bawah 13 tahun memiliki akaun.

“Saya akan membentangkan garis masa pelaksanaannya kepada Jemaah Menteri sebelum membuat pengumuman rasmi,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian NADI on Wheels (NOW) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, Sipitang, Sabah hari ini.

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan mesyuarat dengan syarikat media sosial minggu depan bagi membincangkan langkah segera ke arah pelaksanaan eKYC.

Beliau berkata, selain melindungi kanak-kanak, eKYC juga penting dalam usaha membanteras penipuan dalam talian dan kandungan berbahaya seperti perjudian serta iklan palsu.

“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk aktiviti penipuan. Seperti yang saya nyatakan di Parlimen semalam, 78 peratus kandungan berkaitan penipuan yang dipadamkan datang dari Facebook,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN