SEPANG: Barisan Peguam dari Malaysia kini telah berada di Amman, Jordan bagi membantu menyelaras usaha pembebasan peserta yang ditahan tentera Israel.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Halim berkata, pasukan peguam itu bernaung di bawah Legal Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai 45 buah negara.
“Barisan peguam Malaysia diketuai oleh Tuan Azril daripada CENTHRA (Centre for Human Rights Research & Advocacy) sudah berada di Amman, Jordan dan bersiap siaga bagi menyelaras hal perundangan berkaitan delegasi Malaysia dan flotila.
“SNCC memaklumkan sekretariat GSF bekerjasama dan melantik The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) sebagai wakil rasmi perundangan khususnya untuk delegasi Malaysia berdepan situasi soal siasatan dan tahanan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Sani Araby berkata, sidang akhbar perkembangan terkini berhubung penahanan delegasi Malaysia dan misi GSF akan diadakan tiga kali sehari bermula hari ini.
“Selain itu, kami sekali lagi menegaskan agar semua pihak merujuk pusat ini sebagai sumber sahih dan sebarang maklumat yang tidak sahih hanya akan memenangkan propaganda pihak Zionis dan akan membina naratif salah.
“Pihak Sumud Nusantara menggesa semua penyokong, media, keluarga peserta dan masyarakat yang mendokong untuk terus menjadi penguat semangat dan tidak terpengaruh dengan cubaan halus melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini,” katanya. – UTUSAN