Bahana sokong ‘pengganas’ - Utusan Malaysia

Bahana sokong ‘pengganas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa selebriti terkenal Hollywood berdepan kecaman hebat dalam kalangan masyarakat selepas menyuarakan sokongan terbuka terhadap Israel dalam konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.
Sokongan secara terang-terangan terhadap Israel oleh selebriti-selebriti itu turut menunjukkan betapa sensitifnya isu ini di mata masyarakat di seluruh dunia.
Kritikan daripada pelbagai pihak juga menyifatkan kenyataan atau tindakan mereka sebagai tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Bahkan, ramai yang menuntut agar rata-rata selebriti lebih berhati-hati dan seimbang dalam menyuarakan pandangan, terutamanya apabila melibatkan isu kemanusiaan dan konflik antarabangsa.
Berikut lima selebriti yang menerima kecaman tersebut:

Amy Schumer

Pelakon dan pelawak terkenal Amerika Syarikat, Amy Schumer dikecam hebat di media sosial susulan kenyataannya yang menyokong Israel secara terbuka dalam konflik berterusan antara Israel dan Hamas pada 2023.
Amy juga merupakan antara lebih 700 tokoh industri hiburan Hollywood yang menandatangani surat terbuka menerusi kumpulan Creative Community For Peace yang menyatakan solidariti terhadap Israel dan mendesak pembebasan tebusan yang ditahan di Gaza.
Dalam masa sama, pelakon itu menjelaskan bahawa sokongannya terhadap Israel tidak bermakna dia menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan negara itu selain kurang senang dengan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Rata-rata netizen menyifatkan tindakannya sebagai menyebarkan kebencian dan kurang berempati terhadap krisis kemanusiaan yang berlaku.

Noah Schnapp

Pelakon siri popular Stranger Things ini dikecam kerana memuat naik kenyataan yang dianggap berat sebelah dan menyindir pihak pro-Palestin pada November 2023.
Dalam beberapa hantaran media sosial, dia menyatakan: “Anda sama ada menyokong Israel atau menyokong pengganas,” dan memaparkan pelekat dengan mesej “Zionism is Sexy, Hamas is ISIS.”
Kenyataan tersebut secara tidak langsung mencetuskan kemarahan ramai yang menganggap dia menafikan hak dan penderitaan rakyat Palestin.

Michael Rapaport

Pelakon dan penerbit Amerika Syarikat, Michael Rapaport yang lantang memberikan pandangannya di media sosial telah memuat naik beberapa hantaran yang menyatakan sokongan padu terhadap Israel dan mengutuk keganasan oleh Hamas.
Beberapa hantarannya menunjukkan pendiriannya yang tegas menyokong tindakan ketenteraan Israel sebagai usaha mempertahankan negara itu daripada serangan pengganas Hamas.
Tindakannya itu mencetuskan reaksi negatif daripada sebahagian pengguna media sosial yang menuduh beliau tidak peka dan berat sebelah terhadap penderitaan rakyat Palestin.
Malah, ada juga pihak yang menyeru orang ramai untuk memboikot karya dan projek lakonannya kerana menyebarkan naratif yang hanya memihak kepada Israel.

Kylie Jenner

Gara-gara memuat naik sebuah hantaran yang menunjukkan dirinya menyokong Israel secara terang-terangan, selebriti dan usahawan kosmetik, Kylie Jenner teruk dihentam di media sosial pada 7 Oktober 2023.
Dalam satu hantaran di InstaStory miliknya, Kylie berkongsi gambar bendera Israel bersama kapsyen:“Kini dan selamanya, kami berdiri bersama rakyat Israel!”
Namun, selepas menerima reaksi negatif dan kehilangan ribuan pengikut, beliau memadamkan hantaran itu tanpa memberi sebarang penjelasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN