KUALA NERUS: Selepas hampir dua hari terputus hubungan, keluarga Prof. Dr. Mohd. Afandi Saleh dapat menarik nafas lega selepas menerima panggilan telefon daripada beliau sejurus tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye, malam semalam.
Mohd. Afandi yang juga pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah salah seorang daripada sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan tentera Israel selepas kapal Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG) dinaiki mereka dipintas ketika dalam pelayaran menghampiri Gaza, Rabu lalu.
Anaknya, Adam, 20, berkata, bapanya sempat menghubungi ibunya memaklumkan bahawa semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan dijadual pulang ke tanah air hari ini.
“Baba (panggilan keluarga untuk Mohd. Afandi) ada telefon Umi (ibu) menggunakan telefon orang lain, katanya semua wakil Malaysia selamat dan sedang berehat di Istanbul,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.
Adam yang juga pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di UniSZA berkata, bapanya turut berkongsi pengalaman getir sepanjang penahanan mereka di bawah kawalan tentera Israel.
“Baba sempat beritahu Umi yang Israel kali ini lebih kejam berbanding 2018. Walaupun ini kali kedua dia ditahan, pengalaman itu lebih menakutkan,” katanya.
Menurut Adam, ibunya paling terkesan apabila mengetahui kapal dinaiki Mohd. Afandi diserang namun panggilan yang diterima semalam sedikit sebanyak melegakan seluruh keluarga.
“Umi menangis semasa dengar suara Baba sebab tak sangka masih dapat peluang bercakap. Kami cuma tunggu hari ini untuk sambut kepulangan Baba dan rakan-rakan yang lain di KLIA,” ujarnya. – UTUSAN










